Nasrudin enggan ulas kenyataan Nik Abduh

Irwan Muhammad Zain
Mei 21, 2013 12:22 MYT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Nasrudin Hassan enggan mengulas kenyataan yang dibuat timbalannya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyifatkan gesaan agar turun ke jalan raya membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai gopoh.
Beliau menegaskan bahawa DPPM tetap berpendirian bahawa demokrasi merupakan jalan terbaik untuk menukar kerajaan sedia ada.
"Saya belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Nik Abduh mengenai gesaan turun ke jalan raya itu," katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Nasrudin juga mendesak kerajaan memahami suara anak muda yang tidak berpuashati dengan perjalanan pilihan raya umum yang lalu sehingga munculnya desakan agar turun ke jalan raya.
Ahli Parlimen Temerloh itu menegaskan gesaan yang dibuat oleh beberapa individu supaya rakyat turun ke jalan raya bukan bermaksud mereka mahu melakukan rampasan kuasa melalui revolusi sebaliknya ia adalah tanda bantahan terhadap kepincangan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kerajaan sepatutnya melihat seruan anak muda seperti Adam Adli itu sebagai bantahan kerana pengendalian pilihan raya yang banyak kepincangan.
"Seruan ke jalan raya lahir akibat rasa tidak puashati anak muda terhadap pilihan raya yang penuh kepincangan," katanya.
Beliau juga menegaskan Dewan Pemuda PAS Pusat mengecam tindakan menahan individu yang menganjurkan perhimpunan aman membantah perjalanan pilihan raya yang didakwa pincang itu.
"Kerajaan tidak sepatutnya menakutkan rakyat dengan menahan beberapa individu seperti Adam Adli semata-mata mahu menghalang perhimpunan aman dilakukan.
"Setiap perhimpunan yang kita (Pakatan Rakyat) anjurkan telah terbukti aman dan berjalan dengan lancar jika tiada sebarang provokasi dari pihak lain," katanya lagi.
Nik Momahad Abduh menerusi lama Facebooknya menyeru supaya rakyat agar memilih kemenangan melalui kesabaran bukannya melalui ledakan di jalan raya.
"Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
"Itu adalah gopoh. Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum?" katanya menerusi laman facebooknya semalam.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menyeru agar ilmu dan maklumat disalurkan kepada anak muda dan menguatkan jentera untuk memastikan kemenangan diperolehi.
Sebelum itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi laman Facebooknya juga menyatakan pendirian yang sama dan berpendapat demokrasi merupakan kaedah terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.
#Nasrudin Hassan #Nik Mohamad Abduh #Pemuda Pas
;