Nasihat Tun Dr Mahathir buat rakyat Malaysia...

Ridauddin Daud
Disember 24, 2020 22:00 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia perlu ada keyakinan bahawa sebalik setiap kegelapan, pasti ada cahaya yang akan menerangi kehidupan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Sementara menunggu vaksin COVID-19 membuatkan kehidupan manusia kembali normal, semua orang perlu menguatkan semangat supaya rasa tertekan dan sedih tidak menyelubungi jiwa.
Nasihat itu disampaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan rakyat Malaysia perlu ada keyakinan bahawa sebalik setiap kegelapan, pasti ada cahaya yang akan menerangi kehidupan.
Menurutnya, disebabkan COVID-19, banyak perayaan disambut dengan suasana berbeza, tidak sempurna seperti tahun lepas dan perayaan Krismas turut terkena tempiasnya.
“Sekatan dan kekangan akibat dari COVID-19 yang tidak dapat dielak telah turut dialami oleh rakyat Malaysia di dalam beberapa perayaan lain.
“Walaupun ia dapat membuat kita rasa tertekan dan juga sedih, perlu kita ingatkan diri bahawa ini adalah satu cabaran hidup yang perlu kita dihadapi.
“Sudah hampir satu tahun kita berhadapan dengan pandemik ini. Harapan tinggi diletak kepada vaksin yang mungkin dapat mengembalikan kehidupan yang normal seperti yang biasa kita lalui,” katanya menerusi satu rakaman video pada Khamis.
Dalam video sama, Dr Mahathir mewakili isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut menyampaikan ucapan Hari Krismas kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau berharap mereka yang merayakannya menemukan kegembiraan dan ketenangan bersama keluarga dan orang tersayang.
“Di masa yang sama dapat juga kita kongsi kesedaran tentang nasib rakan-rakan lain yang menghadapi kesukaran.
“Semoga kemanusiaan kita terserlah dan membawa cahaya kegembiraan yang lebih terang di perayaan ini,” ujarnya.
#Mahathir Mohamad #Langkawi #Perdana Menteri #PM #bekas perdana menteri #nasihat #vaksin #COVID-19 #pandemik #menteri #rakyat #keluarga #Krismas #Hari Krismas
;