Nasihat Sultan Nazrin tidak terbatas di Perak malah untuk Persekutuan juga - Anwar
Ridauddin Daud
Disember 13, 2020 15:55 MYT
Disember 13, 2020 15:55 MYT
KUALA LUMPUR : Teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik tidak terbatas kepada situasi politik di Perak semata-mata.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata, nasihat itu juga boleh diambil perhatian pemimpin di peringkat Persekutuan juga.
Menurutnya, reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik, bertanggungjawab dan tidak mengkhianati amanah serta mengabai kepentingan rakyat.
“Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak.
“Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba,” katanya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Sultan Nazrin bertitah krisis politik hingga menyebabkan pertukaran kerajaan dan Menteri Besar bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.
Sebaliknya, Baginda menitahkan perkara itu merupakan cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Khamis lepas.
Tambah Sultan Nazrin, setiap ahli Dewan Negeri yang dipilih adalah atas kepercayaan rakyat yang meletakkan harapan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut akan dapat membantu mereka.
#Anwar Ibrahim
#PKR
#Sultan Perak
#sultan nazrin
#Sultan Nazrin Shah
#Parti Keadilan Rakyat
#ADUN
#rakyat
#presiden
#menteri
#kerajaan
#Rasuah
#politik
#Amanah
#politik perak