Nasihat Anwar pada Azmin, ambil cuti jika video intim sahih
Rahimah Abdullah
Julai 17, 2019 15:09 MYT
Julai 17, 2019 15:09 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu mengambil cuti jika video intim yang mengaitkan beliau itu sahih dirinya.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tegas Anwar, tidak perlu berbuat demikian jika siasatan mendapati sebaliknya.
“Tentang sama ada Azmin perlu ambil cuti segera, kenyataan awal saya adalah tidak perlu... ia hanya peluru rambang dan tidak berasas. Namun, sekarang PM (Perdana Menteri) beri kenyataan bahawa itu pilihan terpulang pada Azmin sama ada bercuti atau menuunggu proses perundangan. Memberi gambaran bahawa sudah ada suatu perkembangan baharu dalam proses siasatan.
“Pandangan beberapa pemimpin termasuk Shamsul Iskandar (Ketua Penerangan PKR) supaya Azmin cuti segera. Saya berpandangan bahawa sekiranya didapati video itu sahih maka sepatutnya dia ambil cuti.
"Tetapi itu kita dengar, tak dapat pengesahan Kalau video itu tidak sahih maka tak perlu ambil cuti. Ia bergantung kepada hasil siasatan polis dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu terserah kepada Mohamed Azmin untuk membuat pertimbangan sama ada bercuti atau meneruskan tugas seperti biasa.
Menurut Dr Mahathir, dalam masa sama Mohamed Azmin perlu menyedari fakta bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah selagi belum dibuktikan.
BACA: Terserah pada Azmin untuk bercuti atau teruskan kerja - PM
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Bukit Aman
#Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
#Pengerusi PKR
#PKR
#Shamsul Iskandar
#siasatan
#video intim