Nasib waris kemalangan industri: Apakah ada pembelaan?
Ts Mohd Soffian Osman
Julai 26, 2019 20:00 MYT
Julai 26, 2019 20:00 MYT
DUNIA pekerjaan adalah suatu fasa kehidupan yang dinantikan ramai orang kerana ia mampu mengubah status sosioekonomi diri dan keluarga mereka.
Lebih baik sesuatu pekerjaan dan jawatan yang diperolehi, maka lebih cerahlah peluang mereka untuk mengecapi kehidupan yang diimpikan.
Pun begitu, ramai yang tidak sedar bahawa dunia pekerjaan turut mendedahkan mereka dengan pelbagai risiko yang mampu menggugat kehidupan seharian mereka.
Kecederaan, penyakit atau keracunan akibat dari pekerjaan adalah antara risiko yang perlu dihadapi oleh setiap pekerja terutamanya jika majikan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam organisasi mereka.
Statistik Kemalangan Pekerjaan dari Januari sehingga Jun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan sejumlah 3749 kes kemalangan tempat kerja yang disiasat oleh jabatan berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 131 kes daripadanya melibatkan hilang upaya kekal, manakala 127 kes lagi merupakan kemalangan maut.
Apabila ia berlaku kepada seseorang, nasib mangsa dan waris mereka akan berubah dalam sekelip mata.
Kebanyakan dari mereka akan hilang punca pendapatan kerana hampir semua yang bekerja dan mencari rezeki ini adalah terdiri dari ketua keluarga.
Lebih malang lagi jika majikan yang sepatutnya bertanggungjawab atas kemalangan yang menimpa mengambil sikap lepas tangan dan seterusnya meletakkan segala kesalahan atas bahu si mangsa terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan kemalangan maut.
Menyedari hakikat ini, maka Ir. Mohamad Khalil Ishak bersama sekumpulan profesional, pengamal keselamatan dan kesihatan (KKP) dari pelbagai industri dan peguam yang prihatin telah menubuhkan Pertubuhan Pembela Mangsa Kemalangan Industri (PPMKI) pada tahun 2018.
Objektif penubuhan PPMKI yang antara lain adalah bertujuan memberi pembelaan sewajarnya kepada mangsa dan waris mereka, terutamanya dalam berurusan dengan agensi berkaitan yang selalunya dilihat kurang membantu selain melibatkan kerenah birokrasi.
Menurut Ir. Mohamad Khalil yang juga merupakan seorang pengajar bertauliah bagi penyiasatan kemalangan menggunakan kaedah Tripod Beta Tripod Foundation (The Netherlands) dan Energy Institute (UK), mengatakan tindakan perundangan dari pihak berkuasa semata-mata adalah tidak mencukupi.
Ini kerana kadar denda atau hukuman yang dikenakan ke atas majikan dan pemilik premis yang cuai dan mengabaikan aspek KKP adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan nilai nyawa atau kecederaan yang dialami oleh pekerja mereka.
Oleh itu, satu usaha perlu dimainkan oleh masyarakat sendiri dalam mengambil tindakan mahkamah agar hukuman yang lebih berat dapat dilaksanakan seterusnya dapat memberi pengajaran kepada pihak yang bertanggungjawab agar perkara yang sama tidak berulang dan dapat dielakkan.
PPMKI akan berusaha membantu mangsa atau keluarga terlibat untuk menuntut pampasan dimahkamah atas undang-undang kecuaian (Tort Law) melalui siasatan dan analisa kemalangan secara terperinci dan sistematik bagi mengenalpasti ketidakpatuhan.
Segala dapatan siasatan dan punca kemalangan akan dikongsi dimahkamah melalui keterangan ‘Saksi Pakar’ yang diiktiraf untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.
Untuk rekod, PPMKI telah membantu 25 kes kemalangan di tempat kerja, dengan 4 kes telah mendapat penyelesaian di luar mahkamah (settlement out of court) dan 1 kes telah berjaya di mahkamah sesyen tetapi pihak majikan membuat rayuan ke mahkamah tinggi.
Bagi mana-mana mangsa atau keluarga mangsa kemalangan di tempat kerja yang ingin mendpatkan khidmat nasihat dan bantuan berkaitan, PPMKI boleh dihubungi di alamat berikut :
Pertubuhan Pembela Mangsa Kemalangan Industri,
42, Damai Budi 7, Alam Damai,
56000 Cheras, Kuala Lumpur.
Tel :03-9107 5697 / 013 983 0182
Emel : salam.ppmki@gmail.com
*Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#denda
#kemalangan
#kemalangan industri
#kerenah birokrasi
#keselamatan
#kesihatan
#kesihatan pekerjaan
#mahkamah
#mangsa
#Mohd Soffian Osman
#pembela mangsa kemalangan
#Pembelaan
#PPMKI
#siasatan
#tindakan perundangan