Nasib penjaja, peniaga kecil tidak pernah dipinggir - Ismail Sabri

Azee Shafy
November 6, 2022 14:53 MYT
Ismail Sabri bermesra dengan orang ramai sewaktu program walkabout di Pekan Sehari Kerayong, di Bera, pada Ahad.
BERA: Kerajaan tidak tidak pernah meminggirkan golongan penjaja dan peniaga kecil dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM1 bilion bagi bantuan one-off berjumlah RM1,000 seorang kepada 1 juta penjaja, peniaga kecil dan pemandu teksi di seluruh negara.
"Ada banyak lagi kemudahan lain seperti pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan sebagainya.
"Ini adalah sebagai tambahan modal kepada mereka," katanya selepas program walkabout di Pekan Sehari Kerayong, di sini, pada Ahad.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, para penjaja dan peniaga kecil di kawasan Parlimen Bera juga tidak ketinggalan menerima bantuan kerajaan.
"Saya bersetuju dengan permintaan para penjaja apabila di kawasan ini yang tidak mempunyai tandas awam. Saya akan bawa perkara ini ke Majlis Daerah Bera (MDB) supaya dapat menyediakan tandas mudah alih di sini.
"Dulu, mereka berniaga di kawasan lain yang ada kemudahan tandas. Tapi selepas diubah, mereka terpaksa menumpang tandas-tandas kedai berdekatan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, produk IKS di bawah penjenamaan BeraBest akan diaktifkan semula bagi membantu penjaja atau peniaga kecil yang mempunyai produk dapat dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.
Ismail Sabri berkata, perkara ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Pertubuhan Peladang KAwasan (PPK) supaya mengaktifkan semula jenama tersebut.
"BeraBest adalah produk yang dihasilkan peniaga IKS daerah Bera yang diketengahkan semasa saya menjadi Menteri Pertanian pada ketika itu. Malah, jenama BeraBest juga telah dipatenkan.
"Namun, setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, perkara itu tak dapat diteruskan dengan lancar. Jadi, saya akan aktifkan semula BeraBest," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Peniaga Pasar Malam, Pasar Pagi Daerah Bera, Kamarulzaman Ismail berkata, keprihatinan dan sikap ambil berat Perdana Menteri itu menjadi pujian dalam kalangan penjaja, lebih-lebih lagi apabila para penjaja tidak terlepas dari menerima sebarang bantuan.
"Kami sangat bersyukur sebab PM sentiasa ada untuk kami di sini. Kalau saya mengadu masalah, tak pernah tak selesai. Kalau tak PM yang tolong, dia (PM) akan minta pegawai atau kakitangan yang bantu selesai.
"Setakat ni, memang tiada masalah besar. Cuma tadi, saya ada minta supaya tandas awam dapat disediakan di sini untuk kegunaan para penjaja di sini," katanya.
Jelasnya, keprihatinan perdana menteri telah ditonjolkan sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2009 lagi, dan beliau berharap, keadaan itu berkekalan pada masa akan datang.
#ismail sabri yaakob #penjaja kecil Bera #walkabout #Bera
;