Nasib peniaga jalanan dilanda ribut dapat perhatian kerajaan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 19, 2022 11:26 MYT
Januari 19, 2022 11:26 MYT
IPOH: Nasib 10 peniaga jalanan yang ditimpa musibah dalam kejadian ribut di Bandar Meru Raya di sini, pada petang Isnin mendapat perhatian kerajaan negeri Perak.
Pengarah Sekretarian Usahawan Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, pejabat Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi akan mencari jalan untuk membantu 10 peniaga yang terjejas dalam kejadian itu.
Menurutnya, sebagai permulaan, Exco berkenaan menghulurkan sumbangan peribadi untuk meringankan beban kewangan untuk memberi suntikan semangat kepada mereka yang terjejas.
“Kita telah melihat dan mendengar maklum balas daripada mereka yang terjejas.
“InsyaAllah beberapa tindakan akan kita ambil untuk penambah baikan dan juga membantu mereka pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui semasa meninjau lokasi peniaga berkenaan di sini, petang semalam.
Mohamad Rozlan berkata, pihaknya juga akan membantu mereka mendapatkan beberapa bantuan seperti pinjaman tanpa faedah daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).
“Pejabat Exco juga akan mengusulkan bantuan yang bersesuaian kepada mereka ini untuk membantu mereka memulihkan kembali perniagaan,” ujarnya.
Menurutnya, dalam masa sama, terdapat juga cadangan untuk mencari lokasi yang lebih sesuai yang mempunyai kemudahan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar peniaga berkenaan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau insuran untuk manfaat sekiranya mereka dilanda musibah.
Dalam kejadian ribut pada petang Isnin, seorang peniaga melecur pada kedua-dua kaki selepas tersimbah minyak panas untuk menggoreng ayam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu turut menerbang dan memusnahkan khemah para peniaga.