Nasib penduduk flat: Kalau orang baling batu, nak guna jaring apa pula?
Hilal Azmi
Januari 21, 2018 17:59 MYT
Januari 21, 2018 17:59 MYT
Usaha meningkatkan kesedaran keselamatan terutamanya bagi penduduk di perumahan seperti flat dan pangsapuri perlu dipertingkatkan.
Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Soffian Osman memuji tindakan segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memasang jaring di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur sebagai usaha mempertingkat keselamatan penghuninya.
Katanya, setiap peralatan yang digunakan perlu diselenggara malah spesifikasinya perlu mengikuti keperluan yang ditetapkan.
"Kalau pasang jaring keselamatan untuk objek besar, bagaimana pula dengan objek kecil?
"Kalau kita lihat pengakuan-pengakuan penduduk di flat sekitatar, batu-bata pun dibaling.
"Jadi adakah jaring keselamatan yang disediakan DBKL itu memadai?," soalnya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI pada Ahad.
Mohd Soffian yang sudah 14 tahun berpengalaman dalam hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut memberi contoh pelaksanaan peruntukan undang-undang ketat yang diamalkan di Singapura dalam menangani isu ini.
"Isu sebegini telah dibincangkan di Singapura sejak 1986 lagi.
"Malah, baru-baru ini ada seorang pembantu rumah ditahan hanya selepas dikesan membuang objek dari kediamannya dan siasatan masih lagi berlangsung," jelasnya.
Justeru itu, dua perkara ditegaskan Mohd Soffian sebagai langkah penting bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Pertama kita tingkatkan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk dan kedua, mantapkan penguatkuasaan undang-undang," katanya ringkas.
#baling batu
#DBKL
#flat PPR
#kes baling kerusi flat bangsar
#keselamatan flat
#keselamatan pangsapuri
#Mohd Soffian Osman
#PPR
#Projek Perumahan Rakyat