Nasib pendaki di Gunung Leuser belum diketahui kerana terputus hubungan
Bernama
Disember 15, 2016 14:27 MYT
Disember 15, 2016 14:27 MYT
Nasib kesemua 13 pendaki Malaysia yang terperangkap di Gunung Leuser di Aceh termasuk seorang yang diserang hipotermia masih belum diketahui sehingga sekarang.
Pengarah Urusan Global Communication Center (GCC) Malaysia, Mustaqim Mustaza memberitahu Bernama pihaknya masih belum mendapat maklumat lanjut ekoran perhubungan antara pasukan mencari dan menyelamat dengan pusat komunikasi di Base Camp Jalur Kedah di gunung itu setakat ini masih terputus.
Sebanyak 12 orang dilaporkan terperangkap di Kem Bipak Kaleng pada ketinggian 2,972 meter manakala ketua pendaki Khairil Aslan Ab Rasid pula terperangkap di ketinggian 3,404 meter.
GCC menjadi koordinator secara ihsan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Khairil dikatakan berada di kawasan yang lebih tinggi setelah terpaksa menempuh ribut untuk mendapatkan isyarat telefon dan beliau tidak dapat turun kerana cuaca semakin buruk dengan suhu mencapai satu darjah Celcius.
Pasukan mencari dan menyelamat dari Badan SAR Nasional (Basarnas) pula terpaksa menggunakan jalan darat dengan mendaki gunung itu kerana tidak dapat menggunakan helikpoter ekoran cuaca buruk.
Berikut adalah senarai nama pendaki Malaysia yang dilaporkan terperangkap di Gunung Leuser itu:
1. Khairil Aslan Ab Rasid, 41 (Bangi Lama, Selangor).
2. Muhammad Najman Harith Khairil Aslan, 16, (Bangi Lama, Selangor).
3. Ahmad Nazit Rashid, 40, (Simpang Teluk Teduri, Kedah)
4. Fitrizan Azizan, 34, (Alor Mengkudu, Kedah)
5. Nor Azizah Ahmad (P), 33, (Kuala Kurau, Perak)
6. Siti Aminah Bakar (P), 38, (Ipoh, Perak)
7. Norimah Zakaria (P), 40, (Puchong, Selangor)
8. Asmirul Faizal Arifin, 36, (Shah Alam, Selangor)
9. Mohd Khairul Adi Ahmad Shansuri, 29, (Teluk Intan, Perak)
10.Noor Adi Fawwaz Jamaludin, 29, (Jitra, Kedah)
11.Mohd Aminulzahid Abd Rahman, 34, (Gombak, Selangor)
12.Muhamad Asri Ashari, 34, (Sungai Petani, Kedah).
13 Muhammad Ariff bin Jamaludin (Ampang Jaya, Selangor)
- BERNAMA