Nasib pencari lokan dapat pembelaan, Pok Mat kini selesa di rumah baharu

Nur Fazlizai Ali
Julai 5, 2021 08:20 MYT
Penderitaan Pok Mat berakhir selepas mendapat kediaman lebih selesa di Kampung Gerak Seratus, Besut. -Astro AWANI
BESUT: Penderitaan seorang pencari lokan yang berteduh di rumah usang yang hampir menyembah bumi selama lima tahun berakhir selepas mendapat kediaman lebih selesa di Kampung Gerak Seratus, Besut.
Sambutan Aidil Adha hujung bulan ini pastinya lebih bermakna buat Muhammad Yahya, 57, atau lebih mesra disapa 'Pok Mat' apabila kisah hidupnya mendapat perhatian masyarakat.
Sebelum ini Pok Mat hanya tinggal di pondok usang tiada atap serta dinding yang dipenuhi lubang menunggu masa untuk roboh di Kampung Teluk Bayu.
Menerusi hasil mencari lokan serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, dia meneruskan kelangsungan hidup.
Kesusahan hidup Pok Mat mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang akan membayar sewa rumahnya setiap bulan.
Menurut Pok Mat, dia bersyukur apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
"Rumah baharu ni selesalah. Rumah lama tu hujan basah kalau ribut. Rumah baru ni selesalah. Tak mahu pergi dah rumah lama," kata Pok Mat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya cakna dengan nasib menimpa Pok Mat.
Pelbagai usaha dilakukan bersama Maidam, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain bagi memastikan Pok Mat dan golongan miskin lain dibantu.
“Alhamdulillah, hari ini pun Pok Mat bekerjasama dengan kita dan kita nampak dia gembira di atas kecaknaan komuniti dan juga masyarakat setempat sehingga kita dapat menyediakan rumah sewa yang lebih selesa kepadanya," kata Tengku Zaihan.
Sebelum ini Astro AWANI memaparkan kisah hidup pencari lokan yang hidup di rumah usang hanya berdindingkan kayu reput sebagai tempat berteduh.
Setiap kali hujan pasti lena Pok Mat pasti terganggu dengan titisan air hujan yang membasahi tempat tidurnya yang serba kekurangan.
BACA: PEMULIH: Bantuan Bakul Makanan, dana RM300,000 kepada Ahli Parlimen diagih hari ini
BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH DI SINI
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Muhyiddin, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 billion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#rumah usang #hari raya aidiladha #Muhammad Yahya #pondok #pencari lokan #Pok Mat #dinding berlubang #jkm #MAIDAM
;