Nasib pekerja Malaysia ulang-alik ke Singapura bergantung pada pematuhan SOP

Umavathi Ramayah
Julai 15, 2020 14:10 MYT
Hishammuddin Hussein berkata, perancangan itu dijalankan secara berperingkat dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan ekonomi kedua-dua negara. - Gambar fail/Astro AWANI
Status kira-kira 250,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura, sama ada mereka dibenarkan untuk berulang-alik ke tempat kerja pada setiap hari adalah bergantung kepada kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kebenaran itu adalah bergantung kepada kemampuan Malaysia membendung penularan COVID-19 selepas pintu sempadan dibuka semula kepada kategori RGL dan PCA itu pada 10 Ogos ini.
"Sekiranya, SOP kategori satu dan dua berjalan lancar, maka kita mempunyai peluang cerah untuk berunding dengan kerajaan Singapura," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Rabu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam memberitahu, sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka kepada kategori RGL dan PCA bermula 10 Ogos depan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menjelaskan kategori tiga iaitu mereka yang berulang-alik pada setiap hari dan kategori keempat iaitu sempadan negara dibuka terus adalah sedikit komplikasi dalam keadaan semasa.
"Pun begitu kita fikirkan yang terbaik," katanya.
Tambah beliau, perancangan itu dijalankan secara berperingkat dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan ekonomi kedua-dua negara.
Buat masa ini, Hishammuddin menjelaskan, seramai 400 rakyat Malaysia dibenarkan menggunakan kemudahan RGL pada setiap minggu.
Manakala, kemudahan PCA pula katanya, akan dihadkan kepada 2,000 orang sahaja sehari bagi kedua-dua negara untuk perjalanan rentas sempadan melalui Tambak Johor dan Link Kedua sahaja.
Beliau memberitahu, had pengguna kedua-dua kategori kemudahan rentas sempadan ini akan dikaji dan dipertimbangkan untuk penambahan dari semasa ke semasa, bergantung kepada jumlah kes COVID-19.
#COVID-19 #Hishammuddin Hussein #Kementerian Luar #koronavirus #Pekerja #rakyat Malaysia #RGL #Singapura #SOP #tembok johor #ulang-alik
;