Nasib pekerja Malaysia di Singapura masih dalam tanda tanya

Bernama
Mac 28, 2020 10:00 MYT
Perbincangan perlu diadakan bagi mencari jalan terbaik memastikan mereka yang berada di Singapura dapat berulang-alik ke Malaysia seperti biasa. - Gambar hiasan
Nasib lebih 200,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik ke republik berkenaan kini tidak menentu susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
Meskipun ada sebilangan majikan di Singapura mengambil inisiatif membenarkan pekerja bekerja dari rumah pada masa ini namun, ramai rakyat Malaysia merasakan mereka mungkin hilang pekerjaan memandangkan syarat ketat yang dikenakan oleh kedua-dua negara dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Rata-rata mengharapkan kedua-dua negara dapat mengadakan perbincangan lanjut demi membantu rakyat Malaysia yang 'terkandas' di Singapura sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas.
Harapan itu termasuklah perbincangan untuk mencari jalan terbaik bagi memastikan mereka yang berada di Singapura dapat berulang-alik ke Malaysia seperti biasa.
"Secara jujur, adalah rasa sedih sebab rasa sudah lama berada di sini tetapi saya kena kuatkan semangat. Saya cuma fokus untuk terus berkhidmat dengan majikan namun, pada masa sama, masih berharap keadaan segera kembali seperti dahulu," kata Teh Zu Wei, 25, ketika dihubungi Bernama.
"Kalau boleh saya berharap kerajaan (Singapura dan Malaysia) dapat berbincang dan membantu kami untuk kembali ke rumah (di Johor Bahru) secepat mungkin," kata Teh, yang memilih untuk tidak pulang ke Malaysia sebelum ini kerana baru sahaja mendapat pekerjaan di republik itu.
Menurutnya, beliau baru dua bulan bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital dan sebagai petugas barisan hadapan, khidmatnya diperlukan untuk membantu pesakit.
"Tapi apakan daya, emosi saya pun kadang-kadang terganggu...bilalah kami boleh pulang?," soalnya yang tinggal sendirian di republik itu.
Muhammad Hafiz Rusdi, 32, pula mengharapkan kedua-dua negara dapat mengadakan rundingan menyeluruh dan bukan sekadar mengenai langkah untuk membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura dan sebaliknya.
"Kalau itu (cadangan ulang-alik) tidak ada persetujuan daripada pihak Singapura, kami berharap kerajaan Malaysia dapat menghulurkan bantuan dari segi tempat tinggal dan makanan.
"Kami memang mahu pulang ke Malaysia dan bersama keluarga masing-masing tetapi apa pula akan jadi pada kami dan keluarga jika kami pulang? Siapa yang akan membantu jika kami kesusahan (tanpa pekerjaan)?," katanya yang sudah bekerja dua tahun sebagai pembantu gudang di republik itu.
Muhammad Hafiz juga tidak tahu nasib yang bakal dilaluinya walaupun ketika ini majikan menyediakan tempat penginapan untuknya.
"Majikan turut memberi sedikit duit tambahan untuk kelangsungan hidup di Singapura. Namun, selepas kerajaan Malaysia melanjutkan lagi PKP selama 14 hari lagi, syarikat belum buat apa-apa keputusan sama ada pekerja Malaysia akan terus diberi tempat tinggal atau sebaliknya," kata pemuda itu.
Mohd Hazrien Zainal pula bernasib baik kerana majikan menyediakan tempat tinggal dan wang makan di Singapura sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Bapa berusia 28 tahun itu, yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta, berkata bagaimanapun buat masa ini, syarikat belum memberi sebarang makluman susulan pelanjutan PKP.
"Syarikat sediakan hotel dan duit belanja makan $20 dolar setiap hari. Saya juga akan buat panggilan video kepada anak dan isteri sebab rindukan mereka," katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang bermula pada 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada 31 Mac, dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 14 April bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Hospital #hotel #Johor Bahru #keluarga #perbincangan #perintah kawalan pergerakan #PKP #Singapura #syarat ketat #terkandas
;