Nasib pekerja KR1M terpulang kepada Mydin - Hamzah
Harits Asyraf Hasnan
September 30, 2017 20:38 MYT
September 30, 2017 20:38 MYT
Nasib pekerja Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bergantung kepada syarikat pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd (Mydin).
Itu tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berkata kerajaan sebelum ini hanya menyalurkan beberapa insentif kepada Mydin supaya idea KR1M dapat dilaksanakan.
"Namun, masyarakat silap sangka kerana mereka ingatkan kerajaan yang bayar gaji. Tak, Mydin yang bayar.
"Dulu, bila Mydin kemukakan cadangan (KR1M) kepada kerajaan, kita rasakan idea itu sesuatu yang baik, cadangan yang baik. Jadi, kita berilah sokongan dengan sedikit bantuan antaranya kuota permit import (AP) barang kepada Mydin ketika itu untuk buka KR1M di seluruh negara.
"Jadi, hari ini bila dia cakap tak boleh teruskan, maka itu keputusan Mydin. Kalau tutup, terpulang kepada Mydin nak ambik atau tidak (kakitangan). Bukan ada kena mengena dengan kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, hari ini.
Hadir sama Pro Canselor merangkap Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UnikL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud.
Kontrak Mydin sebagai pengendali KR1M digesa ditarik balik oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai lepas kerana didapati menjual produk pada harga jauh lebih tinggi berbanding pasaran.KR1M mula beroperasi pada 2011 bertujuan menjadi pilihan kepada rakyat berpendapatan rendah namun banyak aduan dilaporkan diterima berkaitan perasaan tidak puas hati berhubung harga dan barangan yang dijual.