Nasib 550 penjaja pasar malam Lorong TAR masih samar
Bernama
Mac 16, 2019 06:54 MYT
Mac 16, 2019 06:54 MYT
Nasib seramai 550 penjaja pasar malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang perlu berpindah ke tapak baharu bagi memberi laluan kepada penutupan Jalan TAR di sini mulai 1 April ini masih samar.
Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Lorong TAR, Azkhalim Suradi berkata ini kerana mereka masih tidak dimaklumkan secara rasmi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, pihaknya pernah berpindah sebanyak tiga kali sepanjang 34 tahun berniaga di sekitar kawasan itu.
"Pada awal pemindahan tapak dari Jalan TAR ke Lorong TAR, aktiviti perniagaan kami terjejas teruk selama 10 tahun sehingga 50 peratus daripada penjaja mengalami kerugian dan terpaksa meninggalkan aktiviti pasar malam.
"Kami mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk memajukan Lorong TAR daripada lorong belakang kedai berbau busuk dan kotor sehingga menjadi kawasan pelancongan kerana rata-rata daripada kami berniaga di situ berusaha untuk menjaga kebersihan setempat," katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.
Timbalan pengerusinya, Roslan Ab Ghani berkata, pemindahan kali kedua adalah ketika projek naik taraf Lorong TAR sempena River Of Life (RoL) turut menyebabkan ramai pengunjung keliru akan kedudukan tapak pasar malam itu.
"Berikutan itu, rata-rata peniaga dan penjaja mengadu perniagaan mereka terjejas kerana selain sering kali putus bekalan elektrik, pelanggan tidak dapat mencari tapak yang biasa mereka kunjungi kerana sudah berpindah ke tapak sementara iaitu di hadapan Masjid India.
"Lagipun selepas projek naik taraf itu siap, kami berpindah semula ke tapak asal dan semua bekalan elektrik sudah tersedia kepada kami kerana tidak perlu lagi menggunakan generator seperti sebelumnya," katanya.
Katanya, pemindahan tapak pasar malam ke tempat lain tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan menjadi lebih teruk kerana ia melibatkan penyusunan sebanyak 550 lot yang memerlukan kawasan sepanjang satu kilometer dengan kelebaran 10 meter.
"Tapak sedia ada sekarang sudah cantik, ada kemudahan bekalan elektrik dan tapak sudah kekal... pengunjung pun sudah tahu lot mana yang jual pakaian lot mana yang jual barangan yang diperlukan cuma kami mahu kekal berniaga di sini walaupun Jalan TAR hanya untuk pejalan kaki sahaja," katanya.
Katanya, pihaknya akan menghantar memorandum beserta tandatangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, Isnin ini, bagi meminta supaya perbincangan dua pihak diadakan.
Peniaga, Siti Hajar Ismail, 36, berharap agar menteri sendiri datang untuk melihat keadaan sebenar pasar malam di sekitar Lorong TAR pada hari Sabtu sebelum membuat keputusan.
"Perniagaan pasar malam adalah sumber rezeki kami, kami tidak mahu berpindah lagi kerana setiap kali melakukan pemindahan, perniagaan kami terjejas dan kami belum bersedia lagi kerana tempoh sangat singkat.
"Sekurang-kurangnya beliau (Khalid) datang berjumpa kami, ataupun membuat sesi dialog dengan kami, dengar permasalahan kami barulah buat keputusan," katanya yang berniaga di situ selama 10 tahun.
Selasa lepas, Khalid berkata DBKL akan melaksanakan tempoh percubaan untuk Jalan TAR iaitu antara Jalan Esfahan dan Jalan Melayu yang akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum.
Beliau berkata jalan itu ditutup dari 8 pagi hingga jam 12 tengah malam kecuali pengangkutan awam dan kenderaan penguatkuasa.
Berikutan itu, Lorong TAR dan Lorong Gombak akan dikosongkan daripada penjaja dan halangan serta tapak pasar malam akan berpindah ke kawasan lain sepanjang penutupan itu.
#Azkhalim Suradi
#DBKL
#jalan tar
#Lorong Tuanku Abdul Rahman
#penjaja pasar malam
#Roslan Ab Ghani
#TAR