Nasib 19 penuntut UPNM diketahui hari ini

Sinar Harian
Julai 31, 2019 08:20 MYT
Zulfarhan dikatakan didera rakan sepengajian dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. - Gambar fail
Selepas dibicarakan atas kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dua tahun lalu, nasib 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sama ada mereka perlu membela diri atau dibebaskan akan diketahui hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah akan membuat keputusan berhubung insiden tersebut selepas selesai mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dalam perbicaraan yang bermula pada Januari 2018.
Pada 8 Julai lalu mahkamah juga telah mendengar selesai mendengar hujahan pasukan pendakwaan dan hujahan balas barisan peguam bela.
Pada 10 November 2017, enam daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri; dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
BACA: Saksi dedah tulis dua surat layang beritahu Zulfarhan Osman didera
Selain itu, mereka bersama 13 lagi tertuduh lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.
Bagi pertuduhan itu dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
BACA: Kaki, tangan Zulfarhan Osman diikat, sebelum ditekap seterika - Saksi
Barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.
Seawal jam 8.30 pagi setiap kali prosiding perbicaraan berlangsung, galeri awam mahkamah sentiasa dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa.
BACA: Suatu tragedi Malaysia: Kematian kadet Zulfarhan Osman
Insiden kematian Zulfarhan Osman mendapat perhatian seluruh negara susulan dikatakan didera rakan sepengajian dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Zulfarhan Osman diperlakukan demikian kerana dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.
#buli #cedera #dera #didera rakan sepengajian #ditekap dengan seterika #kesan lecur #Komputer Riba #mahkamah #mangsa #mati #melecur #meninggal dunia #pengakuan mencuri #peras #UPNM
;