Nasi Lemak Marrybrown masuk carta MBOR

Bernama
Ogos 2, 2020 00:01 MYT
Revathy S Rengasamy bersama bungkusan nasi lemak untuk diagihkan kepada pengunjung restoran pada Majlis Marrybrown Hari Nasi Lemak 'Most Number Of Nasi Lemak Packs Distributed In Multiple Locations' di Johor Bahru, 1 Ogos, 2020. --fotoBERNAMA
Restoran rangkaian makanan segera tempatan, Marrybrown Malaysia, menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas memberi lebih 10,000 kotak nasi lemak secara percuma dalam sehari di semua cawangannya di seluruh negara.
"Secara peribadi, hidangan (nasi lemak) mencerminkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia kerana setiap menu pada pinggan nasi lemak sama penting, sama seperti rakyat Malaysia berusaha untuk lebih sejahtera ketika bersatu dan hidup harmoni," kata ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Joshua Liew.
"Dalam membawa sentimen ini kepada realiti, kami bangga memberi penghormatan kepada 'Hidangan Kebanggaan Kita' dengan menjadikan 1 Ogos sebagai Hari Nasi Lemak Marrybrown, mulai tahun ini," katanya kepada media selepas menerima sijil MBOR daripada Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng, di sini, pada Sabtu.
Menurut Liew, sejak 39 tahun lalu, Marrybrown telah membawa sesuatu yang berbeza kepada peminatnya seperti menjadi rangkaian restoran makanan segera menyajikan nasi lemak, syarikat francais QSR pertama tempatan dan jenama QSR halal pertama tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
"Marrybrown mampu mencapai sejauh ini dengan penampilan ini hasil sokongan dan dorongan daripada pelanggan kami. Oleh itu memberikan 10,000 kotak nasi lemak khas ini adalah penghargaan yang bermakna bagi kami," katanya.
-- BERNAMA
#carta #cawangan #Hidangan Kebanggaan Kita #Joshua Liew #Marrybrown Malaysia #mbor #nasi lemak #Nasi Lemak Marrybrown #pelanggan #percuma #Rekod #sesuatu yang berbeza #sijil