Nasi kandar Line Clear berdepan masalah lesen, mungkin ditutup

Astro Awani
Jun 2, 2014 17:11 MYT
Salah sebuah restoran nasi kandar yang terkenal di Pulau Pinang
Restoran Nasi Kandar Line Clear, salah sebuah restoran nasi kandar yang sering menjadi sebutan penduduk di Pulau Pinang kemungkinan akan ditutup gara-gara masalah pelesenan, lapor Malaysian Insider.
Tapak restoran tersebut yang terletak di lorong sempit Jalan Pulau Pinang, George Town akan diambil alih semula oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) jika masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan.
Restoran yang juga turut menjadi sebutan pengunjung dari luar Pulau Pinang itu sudah beroperasi di lokasi tersebut selama beberapa dekad.
Masalah pelesenan timbul berikutan pertikaian antara empat ahli keluarga yang menguruskan perniagaan itu yang pada mulanya bersetuju bergilir-gilir menjalankan perniagaan nasi kandar itu.
Restoran tersebut sehingga kini diuruskan Abdul Hamid Seeni Pakir meskipun keluarga itu membuat perjanjian akan membenarkan beliau menjalankan perniagaan sehingga 2011.
Difahamkan, pengurusan restoran tersebut sepatutnya diserahkan kepada sepupunya, Sahubarali China Mohd Hanibah pada 2011, namun didakwa tidak berbuat demikian.
"Kami akan berunding kembali dengan pihak kepentingan bagi menyelesaikan masalah ini dalam dua minggu. Berdasarkan hal itu, kami terpaksa mengambil tindakan bagi memastikan perniagaan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang.
"‎Kami berhasrat ingin mengambil alih premis dengan mengosongkan kawasan itu menyusun semula perniagaan selaras dengan majlis undang-undang," Pengarah Pelesenan MPPP, Azman Sirun dipetik sebagai berkata oleh Malaysian Insider.
#jalan Pulau Pinang #lesen #Nasi Kandar Line Clear #tutp
;