Nasi dagang dan keropok lekor Terengganu diterbangkan ke London esok

Bernama
November 29, 2017 21:34 MYT
Kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan memberangsangkan terhadap makanan sejuk beku di pasaran UK, Eropah dan Asia Barat terutama untuk nasi dagang dan keropok lekor yang menawarkan keunikan dan kelainan rasa. - Gambar hiasan
Sebanyak 5,000 pek nasi dagang dan 5,000 pek keropok lekor sejuk beku keluaran T-Kitchen Terengganu akan dihantar ke London mulai esok melalui penerbangan tanpa henti MASkargo.
Pengurus Besar T-Kitchen Terengganu, Tengku Zulkarnain Awalludin berkata penghantaran pertama itu bakal melakar sejarah sebagai makanan tradisi Terengganu pertama yang diedar dan dipasarkan oleh Chicken Cottage di beberapa pasaraya sejuk beku makanan Asia di sekitar London.
"Chicken Cottage yang juga syarikat milik kerajaan negeri juga akan memperkenalkan menu baharu berasaskan nasi dagang dan keropok lekor di rangkaian kedai makanan segera mereka di London.
"Penyediaan yang amat mudah dan ringkas menjadi faktor tarikan kepada penggemar makanan segera di London untuk menikmati dua menu tradisional Terengganu ini.
"Hanya masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro selama empat minit dan ianya sedia untuk dimakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zulkarnain berkata penghantaran pertama ke London itu bakal menjadi titik tolak untuk meneroka pasaran baharu seperti Dubai, Makkah dan Madinah.
"Kerajaan negeri telah menjalankan kaji selidik produk dan mendapati terdapat permintaan yang memberangsangkan terhadap makanan sejuk beku di pasaran United Kingdom, Eropah dan di Asia Barat terutama nasi dagang dan keropok lekor yang menawarkan keunikan dan kelainan rasa.
"Saya yakin keunikan pembungkusan produk sejuk beku ini juga akan membantu menonjolkan imej negeri bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi malah sebagai negeri yang terkenal dengan kepelbagaian makanan yang lazat dan unik," katanya.
-- BERNAMA
#ASkargo #Chicken Cottage #keropok lekor #London #makanan segera #nasi dagang #T-Kitchen #Tengku Zulkarnain Awalludin
;