NASA, MOSTI perkukuh kerjasama angkasa
Bernama
Disember 6, 2024 05:40 MYT
Disember 6, 2024 05:40 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia dan NASA memperkukuh kerjasama dalam teknologi angkasa, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebagai pemain utama di arena angkasa global.
Keperluan untuk bekerjasama lebih rapat diketengahkan semasa pertemuan antara Ketua Saintis dan Penasihat Kanan Iklim kepada Pentadbir NASA Katherine Calvin dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, di Putrajaya pada Jumaat.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya pada Jumaati memaklumkan pertemuan tersebut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan pembangunan ekonomi, dengan matlamat memajukan kepimpinan Malaysia dalam arena angkasa.
"Perbincangan antara MOSTI dan NASA menumpukan kepada usaha mewujudkan kerjasama kukuh untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor teknologi angkasa Malaysia," menurut kenyataan itu.
MOSTI menjelaskan, penjajaran strategik ini penting dalam merealisasikan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 atau dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030, yang bertujuan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan saintifik serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi angkasa global yang kompetitif.
"Selain itu, ia secara langsung menyokong Teras 6: Kecemerlangan Global dalam Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, yang bertujuan memperkukuh kerjasama domestik dan antarabangsa dalam bidang kritikal ini," menurut kenyataan tersebut.
-- BERNAMA