Narkotik Bukit Aman berjaya merampas dadah bernilai RM9.6 juta
Astro Awani
Mei 25, 2015 20:47 MYT
Mei 25, 2015 20:47 MYT
Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman berjaya merampas dadah bernilai RM9.6 juta dari Januari hingga 21 Mei, 2015.
Ia melibatkan 506 kilogram syabu, 29.4 kilogram ketamin, 352,871 biji pil ekstasi, 128,355 biji pil yaba dan 1,504,765 biji pil Eramin Five.
Jumlah keseluruhan tangkapan dalam jangka masa yang sama adalah seramai 71,648 orang yang termasuk 7,458 pembekal, 16,798 orang yang memiliki dadah dan 47,392 orang yang positif ujian dadah.
Dua hari lepas, lapan ahli sindiket dari sekitar Lembah Klang juga telah ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman,STING dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mokhtar Mohd Shariff berkata jumlah rampasan dadah disyaki syabu 34.76 kilogram, pil ekstasi sebanyak 18,651 biji pil ekstasi seberat 5.6 kilogram serta sejumlah peralatan dan bahan kimia memproses dadah dengan nilai rampasan keseluruhan RM10 juta.
Jelasnya lagi dalam sidang media di Bukit Aman siang tadi, serbuan dilakukan pada 22 Mei hingga 23 Mei lalu di tujuh lokasi sekitar Lembah Klang yang meliputi kawasan Wangsa Maju, Damansara, Seri Kembangan serta Sepang.
Serbuan tersebut juga berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah sintetik serta setor simpanan bahan kimia.
Lapan ahli sindiket yang ditahan terdiri daripada seorang wanita Melayu, dua lelaki Melayu, dua lelaki Cina tempatan, seorang lelaki warga india dan dua lelaki dari Sri Lanka.
Turut dirampas adalah sebuah kereta BMW 3 Series, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM100,550. Nilai keseluruhan rampasan bernilai 195,550 ringgit.
Lapan yang ditangkap ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mei di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.