Naqib masih tak tahu keluarganya maut kemalangan - Nenek

Sinar Harian
September 10, 2018 12:39 MYT
JAMILAH: Makcik mohon doa orang ramai agar cucu selamat dan setakat ini, dia masih belum tahu mengenai kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarganya. -Foto Sinar Harian
Keadaan kanak-kanak lelaki yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa dan dua adiknya meninggal dunia dalam kemalangan di KM176 Jalan Johor Bahru-Seremban, kelmarin, dilaporkan stabil.
Neneknya, Jamilah Yahya, 76, berkata cucunya, Mohd Naqib Nizam, 9, yang kini menerima rawatan di Hospital Segamat juga menunjukkan perkembangan baik dan telah sedarkan diri.
"Makcik dimaklumkan doktor berjaya memberhentikan pendarahan dan kecederaan pada hatinya dan kini dia (Naqib) berada dalam pemantauan doktor sebab kecederaan dia agak parah, selain tangan dan kakinya patah.
"Makcik mohon doa orang ramai agar cucu selamat dan setakat ini, dia masih belum tahu mengenai kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarganya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai di sini, semalam.
Menurutnya, selepas ini dia akan berbincang bersama besannya, Mun Ahmad, 73, untuk memastikan nasib Naqib yang merupakan anak sulung kepada pasangan Nizam Daud, 51 dan Nur Faizilin Jamaludin, 37, terbela.
Katanya, dia juga akan memastikan pendidikan dan kebajikan cucunya itu terjamin selain mengambil pendekatan terbaik berkongsi kasih sayang agar Naqib tidak berasa kehilangan dan terabai.
"Makcik reda kejadian ini dan kali terakhir jumpa mereka sekeluarga pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu dan sewaktu anak makcik (Nur Faizlin) beritahu hendak balik ke kampung semalam (kelmarin), memang makcik dan pakcik agak teruja.
"Mereka sekeluarga tinggal di Pengerang, Kota Tinggi kerana arwah anak dan menantu bekerja di sana dan semalam (kelmarin) makcik sempat goreng ikan lais untuk lauk tengah hari bagi menyambut mereka sekeluarga," katanya.
Katanya, dia dan suami, Jamaludin Jelani, 73, juga hanya mengetahui khabar duka menimpa anak kelimanya itu selepas dimaklumkan salah seorang anaknya sebelum bergegas ke Hospital Segamat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang kelmarin, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki lima beranak yang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke kampung Faizlin di Gemereh di sini, dirempuh sebuah treler tanpa muatan dari arah bertentangan.
BACA: Empat beranak termasuk bayi maut
BACA: Pemandu treler terbabit kemalangan maut ditahan polis
#Hospital Segamat #Jamilah Yahya #Johor Bahru-Seremban #Kanak-kanak #kemalangan #Kota Tinggi #Mohd Naqib Nizam #Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai #yatim piatu
;