Nanta nafi pelaksanaan harga maksimum kit ujian kendiri dibuat tergesa-gesa
Bernama
September 3, 2021 22:19 MYT
September 3, 2021 22:19 MYT
PUTRAJAYA: Pelaksanaan harga maksimum RM19.90 untuk kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) berkuat kuasa Ahad ini dibuat secara terancang dalam tempoh masa yang munasabah bagi memastikan alat itu dapat dibeli pada harga mampu milik oleh pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata antara usaha yang dilakukan ialah mengadakan sesi libat urus antara kementerian itu dengan industri berkaitan, agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, persatuan serta pengusaha farmasi.
"Sesi libat urus turut diadakan bersama pengilang, pengimport, pengedar dan peruncit bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai bekalan dan penjualan alat ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata justeru, dakwaan bahawa pelaksanaan harga maksimum kit ujian kendiri itu dibuat tergesa-gesa adalah tidak benar.
Katanya walaupun kandungan perbincangan tidak menyentuh secara spesifik mengenai penetapan harga kawalan sebenar, semua pemain industri wajar mengetahui tujuan perbincangan adalah untuk mendapatkan maklumat berhubung mekanisme harga dan bekalan.
Nanta berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan menyedari kepentingan alat tersebut sebagai keperluan utama bagi memantau risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19 di negara ini.
"Saya amat menghargai sekiranya Persatuan Farmasi Malaysia bersikap lebih rasional dan realistik dengan situasi semasa... alat ujian kendiri itu merupakan barang yang sensitif dari aspek harga dan bekalan kepada rakyat dalam tempoh pandemik ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan beberapa perkara susulan kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Farmasi Malaysia semalam berkaitan pengumuman penetapan harga maksimum runcit dan borong kit ujian pantas antigen COVID-19 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mendapatkan maklumat lanjut berhubung harga jualan produk, kos pengeluaran dan pengimportan serta hasil analisis ke atas maklumat diterima daripada pihak syarikat terlibat telah memberikan asas munasabah kepada penentuan harga maksimum yang ditetapkan di bawah AKHAP 2011.
"Penentuan harga maksimum yang dibuat adalah wajar dengan mengambil kira peniaga masih boleh mendapat keuntungan di peringkat borong dan runcit," katanya.
Beliau berkata KPDNHEP akan memberi tempoh hingga seminggu kepada peniaga dan semua pihak terlibat untuk membuat penyesuaian serta penyelarasan harga.
-- BERNAMA