Nancy Pelosi kunjungi Speaker Dewan Rakyat di Parlimen
Firdaus Azil
Ogos 2, 2022 13:45 MYT
Ogos 2, 2022 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, mengadakan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, Pelosi, yang dalam lawatan rasminya ke negara ini, tiba di bangunan Parlimen sekitar 11.50 pagi, diiringi Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.
Pelosi kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Azhar di Bilik Kunjung Hormat selama satu jam sebelum meninggalkan bangunan Parlimen untuk menyertai jamuan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di ibu negara.
Media difahamkan Unit Komunikasi Parlimen akan mengeluarkan kenyataan susulan berhubung perjumpaan itu.
Lawatan Pelosi ke negara ini merupakan antara siri lawatan rasmi beliau ke Indo-Pasifik, yang mana individu nombor tiga dalam pentadbiran AS itu turut dijadual mengunjungi Korea Selatan dan Jepun.
Beberapa media utama antarabangsa melaporkan, Pelosi dijangka meneruskan lawatannya ke Taiwan selepas meninggalkan Malaysia dan berkemungkinan besar akan memburukkan lagi hubungan tegang antara AS dan China.
China sebelum ini mendakwa lawatan tersebut mencerminkan sikap AS tidak menghormati polisi One-China memandangkan Taiwan masih di bawah pemerintahannya, biarpun wilayah itu telah ditadbir secara demokrasi.