Nancy Pelosi, delegasi dijangka tiba pagi ini di Malaysia
Hasimi Muhamad
Ogos 2, 2022 08:45 MYT
Ogos 2, 2022 08:45 MYT
SUBANG: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi dijangka tiba di Malaysia pagi ini bagi lawatan rasmi.
Ahli politik Demokrat berusia 82 tahun itu dijadual tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.
Difahamkan, pesawat yang membawa Pelosi dan lima lagi delegasi utama dari AS dijadual tiba di antara jam 9 dan 9.30 pagi.
Bagaimanapun, setakat ini pengamal media yang membuat liputan ketibaan Pelosi dan delegasi masih belum menerima maklumat penuh termasuk individu yang bakal menyambut ketibaan mereka.
Begitupun, difahamkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dijangka menyambut ketibaan delegasi yang diketuai Pelosi itu.
Berdasarkan pemerhatian, turut kelihatan ketika ini ialah Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.
Lawatan Pelosi ke negara ini merupakan antara siri lawatan rasmi beliau ke Indo-Pasifik, yang mana individu nombor tiga dalam pentadbiran AS itu turut dijadual mengunjungi Korea Selatan dan Jepun.
Sepanjang lawatan ke Malaysia, Pelosi antaranya dijadual mengadakan lawatan ke bangunan Parlimen.
Dalam perkembangan sama, Pelosi dijangka membuat lawatan ke Taiwan pada Selasa selepas kunjungannya ke Malaysia.
Dalam kenyataan pada Ahad, Pelosi tidak menyenaraikan Taiwan sebagai salah satu lokasi dalam lawatannya ke Asia.
Terdahulu, berita mengenai kemungkinan Pelosi akan mengadakan lawatan ke Taiwan mencetuskan spekulasi tentang tindak balas dari China.