Nancy imbau kisah menyayat hati 'Faridah'
Astro Awani
September 18, 2020 17:34 MYT
September 18, 2020 17:34 MYT
24 September 2013 menjadi tarikh terakhir Faridah menikmati kebebasan. Pada hari itu Faridah dibunuh.
Kematian Faridah mencetuskan keriuhan. Burung kenyalang betina ini mati ketika terbang keluar dari sarangnya. Kematiannya meninggalkan pasangannya Jimmy dalam kemurungan.
Kisah menyayat hati ini diimbau Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri ketika kunjungannya ke Rizab Semulajadi Piasau (PNR).
"Saya mencadangkan kepada mereka mendengar cerita mengenai burung kenyalang yang dinamakan Faridah yang telah mati dengan begitu sedih sekali.
"Ini perlu diceritakan bagi menarik minat orang yang mempunyai minat untuk pergi ke kawasan hijau seperti ini untuk menyaksikan sendiri," kata Nancy.
Tambahnya PNR yang pernah menjadi 'rumah' Faridah akan dipromosi sebagai antara lokasi ekopelancongan di negara ini bersama beberapa lagi lokasi yang telah dikenalpasti kementeriannya.
Ia sebahagian usaha MOTAC bagi memperkasa kawasan pelancongan berkonsepkan alam semulajadi akan diteruskan melalui Pelan Ekopelancongan 2016 -2025.
Inisiatif kerajaan pusat itu akan mengenalpasti beberapa destinasi eko-pelancongan yang baharu di seluruh negara bagi mempelbagaikan tumpuan pelancongan dalam negeri.
Sementara itu satu perancangan sedang dibuat untuk membangunkan koridor hijau sepanjang pantai PNS ke Kampung Pulau Melayu.
Beliau turut menyarankan perkhidmatan teksi sungai diwujudkan untuk kemudahan awam selain menjadi produk pelancongan di bandaraya itu.
"Saya rasa sungai yang kecil dekat Pulau Melayu dengan dekat muara tu adalah baik kalau ada teksi sungai untuk menyeberang.
"Itu saranan sahaja sebab saya nampak itu berpotensi menjadi satu bahan untuk kita promosikan sebagai produk pelancongan di Miri," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan lukisan mural hasil tangan Persatuan Pelukis Miri di Pusat Kraftangan Miri dalam lawatan kerja ke bandaraya itu pada Khamis.
Pusat kraftangan berkenaan sebelum ini merupakan Pusat Khazanah Miri sebelum dibaik pulih melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri Sarawak, dan dirasmikan semula pada Januari 2018.