Nanas bantu penduduk Iban di perkampungan Muara Payang tambah pendapatan

Bernama
Disember 13, 2021 13:21 MYT
Penanam nanas dari Kampung Sumping, Sumping Bayi membersihkan semak samun di kawasan Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang digunakan sebagai kawasan tanaman nanas secara kecil-kecilan. - Bernama
SARIKEI: Kewujudan tanah gambut yang subur membolehkan Kampung Sumping yang didiami masyarakat Iban di Muara Payang di sini menjadi antara kawasan paling aktif mengeluarkan nanas untuk daerah ini.
Sehingga kini, hampir semua 11 keluarga yang mendiami kampung itu terlibat dengan penanaman nanas jenis (baka) Sarikei.
Antara yang terlibat aktif dengan penanaman itu adalah ketua kampungnya Sumping Bayi, 56, yang memberitahu tanaman diusahakan secara kecil-kecilan di Tanah Hak Adat (NCR) Bumiputera masing-masing, menerusi bantuan modal Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
"Bantuan diberi cuma RM3,000 tetapi cukup sebagai modal permulaan membeli benih. Ramai telah mendapat manfaat, saya sendiri berjaya mengusahakan 0.4 hektar daripada keseluruhan 1.6 hektar tanah dimiliki dengan tanaman nanas, yang dapat mengeluarkan hasil sekitar 3,000 biji setiap kali tuaian.
"Di kampung ini, musim tuaian kebiasaannya pada Januari atau Ogos dan hasil tanaman akan dijual di Pasar Tamu Sentral Sarikei," katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, walaupun keuntungan tidak banyak kerana nanas dijual antara RM3.50 hingga RM7 (bergantung pada saiz), tetapi ia boleh menampung kos kehidupan keluarga penduduk yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Oleh kerana penanaman nanas itu berpotensi untuk mengubah kehidupannya, Sumping merancang untuk meluaskan kawasan tanaman nanasnya kepada 20,000 anak pokok berbanding hanya kira-kira 3,500 anak pokok ketika ini.
Seorang lagi penduduk, Ansi Uman, 67, pula berkata oleh kerana permintaan tinggi terhadap buah nanas Sarikei, beliau enggan menoleh ke belakang lagi malah menanam impian untuk meluaskan lagi tanamannya seperti Sumping.
Bagaimanapun beliau sedar ketiadaan jalan yang menghubungkan terus penduduk dengan pekan Sarikei, mungkin melambatkan perancangannya dalam mengembangkan kawasan tanaman.
"Sekarang semua urusan penduduk termasuk untuk memunggah hasil nanas untuk dijual ke pekan Sarikei perlu menggunakan pengangkutan bot selama 45 minit merentasi Sungai Rajang.
"Justeru kami berharap projek Jalan Pasi-Tanjong Manis merangkumi Jambatan Batang Rajang yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini dapat menyelesaikan masalah kami, kerana Muara Payang akan dihubungkan dengan kawasan sekitar dan lebih banyak hasil tanaman dapat dipunggah untuk dijual ke pasaran setempat," kata Ansi.
Kerajaan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mempromosikan Sarikei sebagai 'Food Basket Of Sarawak' serta Pusat Agropolis Wilayah Zon Tengah.
Projek Jalan Pasi-Tanjong Manis bernilai RM321 juta dan dijangka siap pada 2023 itu adalah komitmen kerajaan Sarawak untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat termasuk Muara Payang yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, DUN Kuala Rajang akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandang kerusi Datuk Talif @ Len Salleh dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Wong Ling Ching dari Parti Bumi Kenyalang, dan dua calon bebas yakni Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi dan Abdul Mutalip Abdullah.
Pada PRN 2016, Len meraih 6,235 undi untuk menewaskan calon Amanah, Sopian Junaidi dan calon bebas Asbor Abdullah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN12 pada 18 Dis ini.
-- BERNAMA
#nanas #Sarikei #perladangan #pendapatan
;