Nama disebut Yasin Sulaiman, ini respons Syed Saddiq
Rahimah Abdullah
Mac 31, 2022 00:58 MYT
Mac 31, 2022 00:58 MYT
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan mengulas mengenai kes bekas penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang didakwa di mahkamah kerana memiliki dadah dan menanam pokok ganja.
Jelasnya, ia kerana beliau tidak mahu mengganggu perjalanan kes itu.
"Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.
"Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu mengganggu perjalanan kes," katanya dalam satu entri di laman sosial Facebooknya pada Khamis malam.
Syed Saddiq mengulas tindakan Yasin 'menyampaikan pesanan' kepadanya melalui pengamal media yang membuat liputan ketika dia tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Yasin antara lain meminta beliau berusaha menyegerakan kelulusan kanabis untuk tujuan perubatan melalui Parlimen.
Yasin didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati .
Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengulangi pendirian untuk menggesa kerajaan membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan.
"Sejak menjadi menteri pada 2018-2020, saya konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).
"Malah, Kementerian Kesihatan di bawah bekas menteri, Dr Dzulkefly ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan MOH (KKM) untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.
"Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekarang.
"Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains. Bukan buat sebab “trend” atau cakap-cakap orang. Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit," tambahnya lagi.
Malah beliau pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia.
"Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion.
"Saya sendiri ambil tanggungjawab dalam memperkenalkan industri ini di negara kita.
"Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti," ujarnya.