"Nak tunggu sampai bila?", Anthony Loke jawab isu tol raih undi PRK

Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 24, 2019 20:20 MYT
ANTHONY: Adakah hanya disebabkan terdapat PRK maka kerajaan tidak boleh umum apa-apa?
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menepis dakwaan rancangan kerajaan ambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang sebagai cubaan memancing undi.
Ini susulan dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan pengumuman yang dibuat ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih adalah untuk meraih undi.
Katanya, isu tersebut tidak seharusnya timbul kerana tanggungjawab kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat.
“Kita nak tunggu sampai bila? Kalau lepas Semenyih ada (PRK) Rantau pula. Adakah hanya disebabkan terdapat PRK maka kerajaan tidak boleh umum apa-apa?
“Kita nak cepat, rakyat pun nak cepat. Rakyat nak tengok keputusan dengan cepat dan kerana itu kita laksana dengan cepat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini pada Ahad.
Katanya lagi, kerajaan membuat keputusan itu memandangkan mereka sudah terlebih dahulu membuat perancangan mengambil alih empat lebuh raya bertol terbabit.
“Bukan sebab ada PRK. Padahal empat lebuh raya itu bukan terlibat dengan Semenyih,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kaedah kutipan tol mengikut waktu, Loke berkata tujuan ia dibuat adalah untuk menggalakkan pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka.
“Ini supaya dapat ringankan beban dan mahu galakkan orang ramai merancang perjalanan.
“Caj kesesakan ini sebenarnya sudah pun dipraktikkan di negara-negara lain.
“Pada waktu sesak, ada bayarannya dan pada waktu tidak sesak sama ada tiada bayaran atau bayaran yang kurang,” tambahnya lagi.
Pada Sabtu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang yang dikendalikan syarikat konsesi Gamuda Berhad.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kaedah kutipan tol sedia ada akan digantikan kepada satu kaedah baru dengan kadar yang lebih rendah.
Kaedah kutipan tol baharu itu akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.
Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.
#Anthony Loke #isu tol #kerajaan #Pakatan Harapan #pancing undi #pengundi #PRK Semenyih #semenyih memilih
;