'Nak sayang adik sepenuhnya' - Anak terkilan tak sempat pakai baju raya sedondon

Nur Fazlizai Ali
April 13, 2023 07:00 MYT
Muhammad Danish (tengah) walaupun masih terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga mereka, namun dia dan adik beradiknya yang lain redha dengan ujian tersebut. - Astro AWANI
DUNGUN: Enam beradik terkilan tidak sempat pakai baju raya sedondon dalam kejadian di Kampung Besol, Bukit Besi, minggu lalu.
Lazimnya ibu akan menyediakan pakaian raya dengan warna sedondon untuk dipakai pada 1 Syawal namun Hari Raya Aidilfitri tahun ini semuanya berubah.
Itu antara luahan anak wanita yang mati dipercayai dibunuh kejam suaminya dalam kejadian di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun awal bulan ini.
Muhammad Danish Hakim Mohd Radzi, 15, berkata pada raya tahun ini juga ibunya ada memberitahu hendak mengenakan tema baju raya berwarna biru untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, kini semuanya telah berubah dan mereka akan merayakan Aidilfitri di pusara ibunya tersayang susulan kejadian tersebut.
"Sedihlah, nak jaga adik-adik, nak bagi adik kasih sayang yang secukupnya.
"Sebelum ini ibu ada kata nak beli baju raya warna biru. Tengah carilah," katanya.
Muhammad Danish Hakim berkata walaupun masih terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga mereka, namun dia dan adik beradiknya yang lain redha dengan ujian tersebut.
Sementara itu, neneknya Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata kehilangan bekas menantunya itu meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.
Jelas Wan Zaini, dia dan anak-anaknya termasuk Mohd Radzi akan memberikan yang terbaik untuk menggembirakan dan menenangkan emosi kesemua anak Allahyarham Rubiah Sabtu.
"Makcik nak kata macam seolah-olah mimpi tetapi nyata. Kalau tak nak terima kenyataan itu semua Allah telah tentukan.
"Kadang-kadang tak boleh nak cakap lagi tentang dia, insyaAllah selagi saya ada, saya akan cuba buat yang terbaik untuk cucu saya," katanya.
Menurut Wan Zaini, dia juga sentiasa menasihatkan anak-anak arwah agar supaya tidak berdendam dengan bapa tiri mereka dan redha dengan ketentuan Allah.
Katanya ketika ini empat daripada tujuh anak arwah Rubiah berada di bawah jagaannya manakala dua lagi anak cucu lelakinya yang berusia 18 dan 15 tahun akan dijaga bapa mereka buat sementara waktu.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun.
Kejadian itu menyebabkan mangsa Rubiah Sabtu, 41, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
Isteri maut dipukul suami dengan tukul besi
#baju raya #Aidilfitri #bunuh #ibu
;