Nak pinjam duit, perlu bayar dulu, mangsa ditipu RM1,200
Noraniza Kamsani
Februari 27, 2018 13:25 MYT
Februari 27, 2018 13:25 MYT
Seorang pekerja kilang sawit di sini kerugian RM1,200 selepas diperdaya oleh sindiket penipuan syarikat pinjaman yang tidak wujud.
Penipuan itu bermula pada pertengahan Februari lalu apabila mangsa berusia 33 tahun itu, melihat iklan pinjaman wang peribadi sindiket itu yang diiklankan di laman sosial Facebook sebelum menghubungi seorang lelaki yang dikenali sebagai Mr Ku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa yang diterangkan prosedur membuat pinjaman peribadi berkenaan bersetuju untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000.
"Selepas itu, mangsa dihubungi oleh seorang lagi suspek wanita dikenali sebagai Ashley yang menerangkan prosedur bagi mendapatkan pinjaman serta wang pengdahuluan, " katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada 23 Februari lalu, mangsa mendepositkan wang melalui mesin deposit tunai (CDM) sebanyak RM400 kepada akaun sindiket tersebut untuk tujuan urusan peguam.
"Selepas itu, pada hari yang sama juga mangsa memasukkan sekali lagi duit berjumlah RM800 ke dalam akuan yang sama untuk tujuan memudahkan proses membuat pinjaman berkenaan" katanya.
Wazir berkata, mangsa juga diarah untuk membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM600 namun dia tidak membayar wang berkenaan selepas merasa dirinya ditipu.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam," katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis kini sedang memburu kesemua suspek yang terbabit.