'Nak masuk Low Yat kena ada ilmu' - Netizen
Madiha Abdullah
Julai 12, 2015 10:31 MYT
Julai 12, 2015 10:31 MYT
Plaza Low Yat di Bukit Bintang di sini semalam gempar dengan insiden pergaduhan yang membabitkan tujuh lelaki dengan beberapa pekerja kedai telefon bimbit.
Dalam kejadian yang berlaku jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.
Pergaduhan dikatakan berpunca apabila salah seorang daripada tujuh lelaki berkenaan ingin menukar telefon yang didakwa bukan dari set tulen.
Namun pekerja kedai terbabit tidak membenarkan penukaran tersebut dan menuduh lelaki berkenaan ingin mencuri.
Marah dengan tuduhan itu, lelaki berkenaan dipercayai memanggil rakan-rakannya untuk menyerang kedai terbabit.
Di laman sosial, ramai yang tidak terkejut dengan situasi berkenaan.
Ramai yang menyatakan dengan reputasi kurang baik beberapa kedai di plaza tersebut, bukanlah satu perkara pelik apabila terjadinya kes pergaduhan seperti itu meskipun kebanyakkan kedai beroperasi dengan jujur.
Dalam masa yang sama, netizen menasihatkan agar mereka yang ingin membeli barangan di situ supaya lebih bijak membezakan kualiti barangan.
Plaza Low Yat sering menjadi destinasi utama orang ramai, khususnya warga kota, yang ingin mendapatkan barangan elektronik dan komunikasi dengan harga murah.