'Nak jaga tanaman dan memburu' jadi alasan lima lelaki miliki 9 senjata api, 11 senapang angin

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 20, 2021 16:03 MYT
Polis turut merampas 58 butir peluru jenis 12 Bore, tiga butir kelongsong peluru, 30 butir palet senapang angin, empat kotak kecil palet senapang angin dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi membuat senjati api. - Astro AWANI
RANAU: Polis berjaya merampas sembilan laras senjata api dan 11 senapang angin buatan sendiri dalam operasi yang dijalankan sejak 10 September 2021.
Ketua Polis Daerah Ranau DSP Simiun Lomudin berkata, operasi tersebut turut berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 29 hingga 57 tahun.
"Pihak Polis Daerah Ranau memandang serius isu pemilikan senjata api buatan sendiri seperti bakakok, ginsuk, senapang angin dan senapang guli yang terdapat di daerah ini.
"Siasatan mendapati pemilik senjata api buatan sendiri ini memberi alasan faktor keselamatan tanaman dan tujuan memburu antara sebab mereka memiliki senjata api buatan sendiri.
"Secara keseluruhan operasi yang telah dilancarkan sejak 10 September 2021 lalu berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 57 tahun.
"Kami membuat rampasan sembilan laras senjata api buatan sendiri jenis Bakakok dan 11 laras senjata jenis senapang angin," katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Ranau pada Isnin.
Turut dirampas 58 butir peluru jenis 12 Bore, tiga butir kelongsong peluru jenis 12 Bore, 30 butir palet senapang angin, empat kotak kecil palet senapang angin dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi membuat senjati api seperti gerudi, mesin pengimpal, kikir dan batang paip besi.
Operasi yang bermula 10 hingga 15 September 2021 itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang dibantu Cawangan Khas IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.
Sekiranya didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sekurang-kurangnya enam sebatan.
#polis #rampas senjata #Ranau #senjata api
;