Nak cepat raih keuntungan, GRO asing dijadikan sandaran
Astro Awani
Oktober 6, 2015 12:52 MYT
Oktober 6, 2015 12:52 MYT
Bukan sahaja dipaparkan GROnya, malah pertandingan dengan mengenakan harga selempang ratu turut dilakukan sehingga ada yang mencecah RM5,000.
Itu antara kegiatan sebuah pusat hiburan yang menyediakan 'malam ratu' GRO asing bagi tatapan si kaki perempuan.
Dengan mengenakan pakaian seksi dan menari tarian ghairah, pusat hiburan ini sesak dengan pelanggan setiap kali waktu puncak.
Atas risikan dan aduan awam, pusat hiburan terletak di Sunway Mentari Petaling Jaya ini digempur polis.
54 GRO warga asing yang sedang leka melayan pelanggan ditangkap.
Operasi jam 12 malam Isnin itu dilakukan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterism (STAGG) Bukit Aman dibantu polis bahagian maksiat dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.
Dalam serbuan itu juga kira-kira 200 pelanggan turut diperiksa.
Menurut Ketua Operasi DSP Mohd Shokri Abdullah, hasil risikan selama dua minggu mendapati bahawa premis berkenaan bukan sahaja memiliki lesen perniagaan atas nama lain malah turut beroperasi lebih waktu.
Wanita-wanita warga asing itu pula disyaki dibawa oleh agen pelacuran.
Harga selempang ratu dikenakan dari serendah RM100 dan dipercayai dibida bagi khidmat seks.
Peralatan audio dirampas dan manakala seorang penjaga premis ditahan untuk soal siasat.
Kesemua GRO yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk dokumentasi.