Nak berbasikal di Putrajaya? Wajib ada brek, lampu dan loceng bermula 9 Januari - Polis
Hakim Rahman
Januari 2, 2021 14:28 MYT
Januari 2, 2021 14:28 MYT
KUALA LUMPUR: Bermula 9 Januari 2021, polis Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata individu yang didapati bersalah akan dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.
Beliau berkata penguatkuasaan dibuat untuk memastikan keselamatan penunggang basikal di Putrajaya yang semakin menjadi tumpuan dengan anggaran 1,000 orang berbasikal pada hari minggu.
"Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya selepas Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Operasi Khas Basikal yang dilaksanakan bermula 1 hingga 3 Januari bertujuan menasihati dan mengingatkan penunggang basikal tentang penguatkuasaan yang akan bermula pada 9 Januari.
Tambah Mohd Fadzil, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.
"Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng iaitu hukuman tersebut tidak boleh dikompaun," katanya.
Mohd Fadzil berkata statistik kemalangan jalan raya melibatkan basikal di Putrajaya merekodkan enam kes pada 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan, manakala 11 kes direkodkan tahun lepas dengan satu kes maut.
Beliau berkata penunggang basikal harus mengambil serius terhadap ciri-ciri keselamatan bagi membolehkan pengguna jalan raya yang lain peka dengan kehadiran mereka.
"Pihak polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," katanya.