“Nak beli baju raya? Rancang kewangan terlebih dahulu!” - Pakar
Farhan Hakimi
Februari 21, 2025 10:50 MYT
Februari 21, 2025 10:50 MYT
Masyarakat disaran untuk berbelanja secara berhemah dan tidak membiarkan perancangan kewangan mereka tersasar semata-mata kerana ingin memenuhi gaya hidup atau mengikut trend menjelang perayaan Aidilfitri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran untuk berbelanja secara berhemah dan tidak membiarkan perancangan kewangan mereka tersasar semata-mata kerana ingin memenuhi gaya hidup atau mengikut trend menjelang perayaan Aidilfitri.
Menurut Ketua Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, membeli pakaian baharu untuk menyambut lebaran tidak memberi sebarang masalah, namun, apa yang paling penting masyarakat harus mengelak daripada dihimpit bebanan kewangan.
Sehubungan itu, Nurul Shahnaz mengingatkan, pemikiran masyarakat berhubung persiapan menyambut hari kebesaran Aidilfitri harus berubah.
"Saya rasa 'mindset' kita ni jangan fikir semua nak beli baharu. Kita kena berpijak pada bumi yang nyata sebab kewangan itu sangat penting dan harus kita fikirkan dahulu.
"Boleh bergaya tapi jangan terjebak dengan hutang," katanya dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
Beliau turut memberi saranan kepada masyarakat masyarakat untuk merancang perbelanjaan termasuk menetapkan bajet khas untuk persiapan hari raya.
Selain itu, jelasnya, masyarakat juga perlu memastikan keutamaan seperti simpanan dan komitmen kewangan bulanan tidak terjejas akibat perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri.