Nak belajar di Jerman dengan percuma? Jom Michelle bantu!

Fahmi Izuddin
Oktober 6, 2023 17:01 MYT
Portal Pendidikan AbroadAssist boleh membantu individu menyelesaikan segala proses yang berkait dengan pendidikan, khususnya di Jerman.
KUALA LUMPUR: Anda antara individu yang mempunyai cita-cita untuk menyambung pengajian di Jerman, tetapi tidak tahu bagaimana proses dan kos yang diperlukan?
Jangan risau, kerana Pempengaruh dan Naib Presiden AbroadAssist Jerman, Michelle Maali sedia untuk membantu anda.
Menurut beliau, secara amnya, kos pengajian di Jerman adalah percuma dan portal pendidikan AbroadAssist boleh membantu mana-mana individu untuk menyelesaikan segala proses yang terkait untuk pendidikan anda, khususnya di Jerman.
Malah, katanya, ia mampu membuka peluang kepada individu itu untuk mendapatkan kerjaya dalam bidang yang dipelajari, khususnya aliran TVET di Jerman.
"AbroadAssist cuba menyokong pelajar kami dengan setiap langkah yang mereka ambil, meskipun terdapat perbezaan cabaran bergantung pada program.
"Kadangkala cabarannya adalah proses permohonan, dan kami akan bantu untuk memudahkan proses tersebut.
"Kami juga mempersiapkan pelajar-pelajar untuk proses sesi temu duga dengan syarikat-syarikat sesuai dengan situasi pengambilan kerja di Jerman," ujarnya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi.
Mengulas lanjut berkenaan kemampanan sitem Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Jerman, beliau menjelaskan TVET di Jerman bukan lagi pendidikan pilihan kedua.
Sebaliknya, aliran itu telah berjaya melahirkan tenaga berkemahiran tinggi sebanyak 81 peratus dan 63 peratus adalah lulusan dari Kolej Vokasional di Jerman.
Perkasa aliran TVET, contohi manfaat kursus TVET di Jerman
Selain itu, Michelle berkata, kursus TVET di Jerman mempunyai pelbagai manfaat. Ini termasuk sistem pembelajaran sambil bekerja yang mampu membentuk kebolehpasaran pelajar sesuai dengan permintaan semasa industri.
"Maka, salah satu ciri utama yang paling penting dalam program ini, 50 peratus adalah teori, ia agak standard, untuk semua program di sekolah, dan 50 peratus biasanya dilakukan dengan syarikat.
"Kelebihan besarnya adalah anda akan mempunyai prospek kerjaya yang baik. Jadi kerana syarikat ini, anda sudah terikat kontrak dengan mereka, mereka akan melabur lebih banyak wang dan masa untuk anda, dan mereka membina anda dengan cara yang sesuai dengan keperluan dan permintaan mereka," katanya.
Ujarnya lagi, Jerman sebagai sebuah negara yang mementingkan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya, komited untuk memastikan setiap insentif dan bantuan yang diperlukan tersedia kepada mana-mana individu.
"Secara amnya, Jerman ialah negara yang mementingkan aspek kesejahteraan. (Terdapat) pelbagai bantuan yang tersedia untuk menyokong individu di sana, misalnya pendidikan sudahpun percuma tanpa mengira latar belakang pendapatan individu.
"Selain itu, terdapat juga bantuan tambahan dari kerajaan Jerman jika elaun bulanan yang diberikan tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan anda," tambahnya.
Mana-mana individu yang berminat untuk menyambung pengajian ke Jerman, boleh melayari laman sesawang www.abroadassist.org untuk maklumat lanjut.
AWANI Pagi: Contohi Jerman Perkasakan TVET
#pendidikan #Jerman #Michelle Maali #TVET
;