Najib: Wanita mampu tunjuk kemampuan jika diberi peluang
Bernama
Ogos 25, 2013 14:10 MYT
Ogos 25, 2013 14:10 MYT
Kerajaan akan terus memberi peluang kepada wanita agar kedudukan golongan itu dalam pembangunan dan transformasi negara dapat dipertingkat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini kerana wanita berupaya menjalankan tugas dan menggalas amanah yang diberikan dengan baik, sama ada di dalam kerajaan mahupun dalam keluarga.
"Tidak ada masalah dari segi kerajaan untuk terus memberi peluang kepada wanita...bila kita bagi jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan, pentadbiran, umumnya wanita telah membuktikan kemampuan mereka," katanya ketika berucap melancarkan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan timbalannya Datuk Azizah Mohd Dun serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib berkata sejajar degan tema sambutan Hari Wanita tahun ini iaitu 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera', wanita perlu dihormati dan dilayani dengan baik walau di mana sahaja mereka berada baik di rumah, pejabat hatta di dalam lif sekalipun.