Najib ucap terima kasih kepada Sweden
Bernama
Februari 1, 2014 15:08 MYT
Februari 1, 2014 15:08 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sweden di atas pertimbangan khas yang diberikan bagi membolehkan keempat-empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di negara itu, dibawa pulang ke tanah air.
"Saya difahamkan sebelum ini amat sukar perolehi kebenaran untuk membawa pulang, tetapi atas hubungan baik di antara Malaysia dan Sweden dan semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang ditanda tangani kedua-dua negara, mereka beri persetujuan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bertemu dan bertanya khabar dengan keempat-empat anak pasangan itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.
Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7, tiba di kediaman perdana menteri kira-kira 1 tengah hari dengan ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara-mara mereka..
Mereka yang tiba di tanah air pagi ini selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm, namun kelihatan ceria apabila bertemu Najib dan Rosmah yang menyambut ketibaan mereka.
Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan pada 18 Dis lepas atas dakwaan memukul tangan seorang daripada anaknya kerana tidak solat.
Mereka tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.
Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah kerana menjalankan tugas dengan baik sehingga berjaya membawa balik kanak-kanak tersebut agar kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin dan psikologi mereka tidak terganggu dengan tekanan yang dihadapi di negara itu.
"Saya juga dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka bersetuju supaya anak-anak mereka ditempatkan bersama ibu saudara mereka di Kelantan, kita akan uruskan mereka untuk pergi ke Kelantan dan sekiranya ada apa-apa keperluan kita akan bantu," katanya.
Beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berkesan agar keempat-empat beradik itu dijaga dengan baik dan terlepas daripada mengalami sebarang tekanan perasaan akibat kesukaran yang dialami sepanjang penahanan ibu bapa mereka.
Najib berkata kerajaan juga akan berusaha sedaya-upaya membantu ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan reman oleh pihak berkuasa Sweden dalam mempertahankan kes mereka mengikut undang-undang yang diamalkan di negara itu.