Najib ucap takziah kepada keluarga atlet paralimpik maut nahas
Bernama
Januari 24, 2015 20:22 MYT
Januari 24, 2015 20:22 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga atlet paralimpik Mohammad Azlan Mat Lazim yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya di sini hari ini.
"Salam takziah kepada keluarga Mohd Azlan Mat Lazim yang mengharumkan nama negara di Sukan Para Asia Incheon 2014 dengan tiga pingat emas. Al-Fatihah," katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau.
Mohammad Azlan, 24, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna, 25, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van.
Pada temasya Para Asia pada Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang tiga emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.
Farisan, dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar.