Najib ucap selamat ulang tahun ke-78 kelahiran Pak Lah
Bernama
November 26, 2017 23:42 MYT
November 26, 2017 23:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-78 kelahiran kepada Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah.
"Selamat Hari Lahir, Pak Lah! Semoga dikurniakan kesihatan dan dalam perlindungan Allah SWT sentiasa," ucap Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, hari ini.
Abdullah, yang dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, ialah anak sulung kepada Allahyarham Datuk Ahmad Abdullah Fahim, seorang alim agama manakala datuk beliau, Sheikh Abdullah Fahim, adalah bekas Mufti Pulau Pinang.
Mula menyertai UMNO pada 1964, Abdullah bergerak aktif dalam politik sehingga dilantik sebagai perdana menteri pada 31 Okt 2003 dan berundur daripada jawatan itu pada 3 April 2009.
-- BERNAMA