Najib tuntut permohonan maaf, pampasan RM10 juta daripada Tommy Thomas
Faris Danial Razi
Februari 2, 2021 20:51 MYT
Februari 2, 2021 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan tuntutan kepada Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa memfitnahnya dalam buku berjudul "My Story Justice in The Wilderness".
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM10 juta daripada bekas Peguam Negara itu.
"Sekiranya kami tidak menerima maklum balas yang memuaskan daripada pihak anda pada Jumaat ini, arahan jelas kami adalah untuk memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan," katanya.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today, dalam surat tuntutan kepada Thomas, Najib mengatakan bahawa pada 31 Januari, Tommy telah menerbitkan sebuah buku dan tuduhan fitnah itu ada dalam bab 42 dengan judul "Altantuya" yang dari halaman 400 hingga 405.
Ia juga mengatakan bahawa kenyataan Thomas mengenai Najib dalam buku itu jelas didorong oleh mala fide dan usaha mementingkan diri sendiri untuk mencari publisiti murah yang didorong oleh "ego, sensasionalisme dan keuntungan".
Kenyataan itu menambah bahawa penulisan Thomas jelas memfitnah Najib dan menyebabkan dirinya menderita dan berasa malu.
Surat itu turut menuntut permohonan maaf daripada Thomas untuk disiarkan di akhbar pilihan Najib, dengan ikrar janji oleh Thomas untuk tidak mengulangi tuduhan dan komen dalam buku itu, serta ganti rugi RM10 juta sebagai balasan kerana mencemarkan reputasi Najib.
Pada 31 Januari, Thomas mengeluarkan buku memoir 573 muka surat yang antara lain memaparkan kisah kejayaan dan kegagalan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dari perspektifnya.
#Najib Razak
#Muhammad Shafee Abdullah
#Perdana Menteri
#Parlimen
#kerajaan
#Peguam Negara
#Tommy Thomas
#fitnah
#pampasan
#menteri
#undang-undang
#COVID-19
#gantung parlimen