Najib, Tun Mahathir sebumbung di mahkamah hari ini

Sinar Harian
Oktober 30, 2024 08:40 MYT
Dua bekas Perdana Menteri dan juga seteru politik, Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad dijangka bertembung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jarang dapat kita saksikan, apabila dua seteru politik tanah air, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad bertembung dalam prosiding kes di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
Ia mungkin turut mengundang kehadiran penyokong daripada kedua-dua bekas Perdana Menteri itu di luar mahkamah sejak awal 7 pagi.
Najib dijangka menghadiri prosiding keputusan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan itu pada jam 9 pagi.
Jika mahkamah mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, maka Najib akan diperintah membela diri.
Bagaimanapun, Najib, 71, akan dilepaskan dan dibebaskan serta-merta sekiranya keputusan tidak memihak kepada pendakwaan, kerana gagal membuktikan kes prima facie.
Sementara itu, Dr Mahathir pula akan meneruskan keterangannya dalam saman fitnahnya terhadap Presiden UMMO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataannya pada 2017 berhubung nama Kutty.
Perbicaraan itu dijadual bermula jam 10 pagi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Pada 16 Oktober lalu, kes saman Dr Mahathir itu ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 99 tahun itu mendapatkan rawatan di IJN pada petang Selasa dan diberi cuti sakit selama 12 hari. - Sinar Harian
#Najib Razak #Mahathir Mohamad #dua bekas PM #kes mahkamah
;