Najib tukar gambar graduasi tahun 1974 sebagai 'profile picture' di Facebook
Rahimah Abdullah
Februari 14, 2019 18:33 MYT
Februari 14, 2019 18:33 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan bukti bergambar bahawa beliau adalah graduan Universiti Nottingham, England dengan memuat naik gambar profil di Facebook yang diambil semasa tahun 1974.
Bekas Perdana Menteri itu cuba menjawab kecaman di media sosial yang mengatakan gambar profil di Facebook yang dimuat naik sebelum ini adalah gambar baharu dan bukan gambar berusia 45 tahun dulu.
"Agak old school tapi inilah foto dari majlis graduasi saya pada tahun 1974. Saya turut bergambar bersama bonda, Tun Rahah dan adik saya Johari. Masa itu, saya tampak cool sebab trend masa itu di England memang berambut panjang. Ok, saya mengaku saya juga terpengaruh masa itu," katanya melalui status di Facebook.
Malah, beliau berterima kasih kepada anaknya, Ashman Najib kerana bersusah-payah mencari gambar lama itu di rumah ibunya.
"Terima kasih kepada anak saya Ashman. Ashman habiskan masa hampir satu jam untuk mencari gambar-gambar yang sudah berusia 45 tahun ini dari rumah bonda saya.
"Kalau DAP masih tak percaya dan ingin fitnah saya lagi, boleh pinjam mesin masa kawan Menteri Kewangan untuk balik ke tahun 1974 cari saya," katanya lagi.