Najib tidak puas hati, dakwa pakaian harian cucu pun dirampas - Peguam

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 19, 2018 17:11 MYT
HARPAL: Najib terkejut apabila barangan hadiah perkahwinan Gina turut dirampas.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati apabila barangan peribadi keluarganya dirampas dalam satu serbuan pada awal pagi Jumaat dalam dua unit kondominium mewah di ibu negara.
Perkara itu disampaikan peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, kepada media ketika ditemui di perkarangan kediaman Najib Razak di Taman Duta, di sini pada Sabtu.
Najib antara lain mempertikai tentang barangan peribadi yang turut dirampas kerana ia tiada kaitan dengan kes syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Salah satu unit kondominium adalah milik anak lelaki beliau, Ashman. Antara barangan peribadi yang digunakan harian adalah jam, komputer riba dan iPad.
“Sementara itu, penggeledahan juga dilakukan di rumah anak perempuan beliau, Gina, semasa dia tiada di rumah. Hanya pembantunya sahaja ada di rumah sewaktu penggeledahan dijalankan,” katanya.
Tambahnya, Najib terkejut apabila barangan hadiah perkahwinan Gina turut dirampas.
“Bukan itu sahaja, barangan pakaian harian bayinya turut dirampas pada hari kejadian,” ujarnya.
Walaupun tidak berpuas hati, Najib dan keluarganya tetap akur dengan perintah yang dikeluarkan dan akan memberi kerjasama kepada pihak polis.
BACA: Rosmah Mansor harap tiada butiran siasatan bocor
#1MDB #kondominium #Najib Razak #PDRM #penggeledahan #polis #Taman Duta
;