Najib tidak pernah minta dibebaskan - Ismail Sabri

Sinar Harian
Ogos 28, 2024 07:30 MYT
Ismail Sabri (kiri) diwawancara oleh Khairy (tengah) dan Shahril dalam Podcast Keluar Sekejap.
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membebaskannya daripada pertuduhan kes yang dihadapinya di mahkamah.
Ismail Sabri sebaliknya menjelaskan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya mahu perbicaraan adil diberikan kepadanya.
“Ramai orang luar tidak tahu bahawa Najib (ketika) jumpa saya (dia) tidak minta dibebaskan. Dia hormat kepada mahkamah,” katanya sewaktu menjadi tetamu Podcast Keluar Sekejap (KS) pada Rabu.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi berkait tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang membabitkan Najib itu adalah di luar bidang kuasanya.
"Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.
"Pelabur kalau ditipu ke mana mereka nak hadapkan (pesalah), sebab mahkamah Malaysia tidak boleh pakai. Kita bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.
“Bagi saya dengan Najib, kita bagi perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan.
“Fakta kes, kenyataan saksi semua orang dah baca, sukar untuk ganggu di mahkamah. Mereka bahkan minta tukar hakim dan peguam negara, jelas gambarkan Umno salah guna kuasa. Mereka tikam saya depan-depan,” kata Ismail Sabri.
Dalam pada itu Ismail Sabri mengakui sokongan UMNO terhadap Najib sehingga kini masih kuat.
Kata beliau lagi, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othmah Said disarankan mengambil tindakan untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Saya harap adalah kalangan daripada kita (UMNO) menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) agar Najib boleh menjalani tahanan di rumah.
“Ataupun Lembaga Pengampunan diminta supaya Najib dapat pengampunan penuh daripada Agong. Kalau (kes masih) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.
“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” ujar beliau
Jelasnya, soalan tentang Titah Adendum ketika ditanya di Dewan Rakyat pada Mac lalu tidak dijawab termasuk daripada Azalina.
“Saya dengar Titah Adendum itu ada cuma tak dibincang sewaktu Lembaga Pengampunan. Sebab itu saya tanya.
“Tapi kalau diikutkan lebih mudah buat kerja (bebaskan Najib) selepas mahkamah buat keputusan berbanding sebelum kes itu dibawa mahkamah. Kerana Mahkamah Tinggi ada seorang hakim, Mahkamah Rayuan ada tiga, Mahkamah Persekutuan ada tiga. Lebih susah.
“Tapi kalau sekarang, kalaulah ada Titah Adendum untuk hukuman di rumah, kita hanya ada satu sahaja iaitu Yang di-Pertuan Agong. Jadi lebih mudah untuk mereka buat kerja sekarang. Tidak libatkan perundangan, hanya belas kasihan,” katanya. - Sinar Harian
#Najib Razak #Najib dipenjara #Titah Adendum #ismail sabri yaakob