Najib tiba di Tokyo untuk lawatan kerja empat hari
Bernama
Disember 12, 2013 09:31 MYT
Disember 12, 2013 09:31 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pagi ini untuk lawatan kerja empat hari sempena Sidang Kemuncak Peringatan 40 Tahun Penubuhan Hubungan Dialog Asean-Jepun.
Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai jadual yang ketat semasa berada di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan (5.15 waktu Malaysia).
Ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som, Duta Jepun di Malaysia Shigeru Nakamura dan pegawai dari kedua-dua negara.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri di hotel penginapan mereka, New Otani Hotel pada 7 pagi iaitu kira-kira 30km dari lapangan terbang, disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Othman Hashim, pegawai-pegawai kedutaan serta pegawai kementerian.
Sementara itu, Najib memulakan lawatannya dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan beliau, Shinzo Abe di Sori Kantei, kediaman rasmi Perdana Menteri Jepun di sini, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan sidang akhbar bersama dan diikuti majlis makan tengah hari.
Pada kira-kira 3 petang bertempat di hotel penginapan, Perdana Menteri dijangka menerima kunjungan pegawai tertinggi dari beberapa syarikat Jepun iaitu Nikkei Inc, Sumitomo Corporation, Sekisui Chemical, Mitsui & Co Ltd, Kawasaki Heavy Industry Ltd dan Toshiba Corp.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Jepun dan melancarkan 1Malaysia for Youth (1M4U) pada pukul 7.30 malam di New Otani Hotel.
Pada Jumaat, Najib dijadual menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan persidangan ke-32 Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca).
Beliau kemudian akan menghadiri majlis minum teh di Istana Imperial yang dihoskan Maharaja Jepun, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko sempena memperingati sidang kemuncak berkenaan.
Selain itu, Najib dan Rosmah juga akan menghadiri majlis jamuan makan malam yang dihoskan Abe dan isterinya, Akie Abe di kediaman rasmi perdana menteri di sini.
Pada hari Sabtu, Najib dijadual menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Akasaka Palace, Rumah Tetamu Negara dan kemudian menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren) dan Dewan Perniagaan dan Industri Jepun (JCCI).
Pada persidangan berkenaan, para pemimpin 10 negara Asean dan Jepun dijangka menekankan kepada hubungan rapat yang telah lama terjalin selain menandatangani tiga dokumen yang menggariskan program dan aktiviti bagi memperkukuhkan hubungan mereka.
Dokumen berkenaan ialah Pernyataan Wawasan Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun, Pelan Pelaksanaannya dan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Asean-Jepun.
Perdana Menteri dan isteri akan menghadiri majlis makan malam, pada malam Sabtu, sebelum pulang ke tanah air, pada Ahad.
Sementara itu, Rosmah akan menghadiri Sidang Kemuncak Pelajar Jepun-Asean di TKP Menara Berkembar Akasaka pada Jumaat dan melawat ke Mount Fuji Hotel pada Sabtu untuk mengenali kebudayaan Jepun.