Najib tiba di San Francisco
Bernama
September 23, 2013 08:48 MYT
September 23, 2013 08:48 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Ahad untuk memulakan lawatan kerja di San Francisco dan New York hingga 29 Sept.
Najib, diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba dengan penerbangan khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang pada 5.45 petang Sabtu.
Di San Francisco, Najib akan menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dari 22 hingga 24 Sept. Beliau juga akan merasmikan forum peringkat tinggi mengenai masa depan hijau dan tenaga hijau, yang disertai anggota majlis antarabangsa dan kebangsaan, terdiri daripada pakar sains dan inovasi bertaraf global.
GSIAC ditubuhkan hasil daya usaha Najib pada 2010 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan meningkatkan kemampuan Malaysia dalam bidang sains dan inovasi.
Najib juga akan menghadiri Mesyuarat Panel Penasihat BIO-Antarabansga (BIO-IAP) ketujuh dan melawat Silicon Valley, termasuk mengunjungi ibu pejabat Twitter dan Google.
Antara atur cara utama lawatan beliau ke Silicon Valley, kali pertama sejak menjadi perdana menteri pada 2009, ialah mesyuarat dengan pasukan pengurusan kanan Twitter dan Google, membuat tweet dari ibu pejabat Twitter dan beramah mesra dengan rakyat Malaysia yang bertugas dengan Google.
Rombongan perdana menteri ke San Fransisco turut dianggotai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan para pegawai kanan kerajaan.
Perdana menteri kemudian dijadual berlepas ke New York pada 24 Sept untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) dari 25 hingga 29 Sept.
Pada 26 Sept, beliau dijadual memberi kenyataan pada mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung mengenai Perlucutan Senjata Nuklear, manakala pada 28 Sept, beliau akan membuat kenyataan Malaysia pada Perbahasan Umum badan dunia itu.
Pada 28 Sept juga, Najib akan menyampaikan ucap tama pada satu majlis anjuran Asia Society dan mengadakan perjumpaan dengan tokoh industri dari negara anggota ASEAN dan Amerika pada satu majlis jamuan tengah hari bersama Majlis Perniagaan Amerika-Asean dan Dewan Perniagaan Amerika.
Beliau juga dijadual meraikan rakyat Malaysia pada satu majlis makan malam di New York pada hari sama.