Najib tiba di London untuk hadiri WIEF
Bernama
Oktober 27, 2013 14:51 MYT
Oktober 27, 2013 14:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini awal pagi Ahad dari Kuala Lumpur untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-9, yang akan diadakan pada 29 Okt hingga 31 Okt di Excel London.
Beliau disambut di lapangan terbang Luton oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong dan isteri Datin Seri Hazizah Ahmad.
Najib, yang dalam lawatan kerja ke Manchester dan London mulai 27 Okt hingga 31 Okt, adalah penaung Yayasan WIEF.
Setibanya beliau di hotel, Najib dan Rosmah disambut oleh beberapa pegawai kerajaan yang bertugas di London serta delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam forum itu.
Edisi ke-9 WIEF dengan tema "Mengubah Dunia, Hubungan Baharu" akan melihat perdana menteri menyampaikan ucaptama di majlis pembukaan pada 29 Okt serta menjadi tuan rumah kepada Majlis Makan Tengah Hari Pemimpin selepas itu.
Selain Najib, kira-kira 16 pemimpin termasuk ketua negara dan kerajaan telah mengesahkan penglibatan mereka dalam forum itu termasuk Perdana Menteri United Kingdom David Cameron, King Abdullah II dari Jordan, Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei serta Perdana Menteri Pakistan Muhammad Nawaz Sharif.
WIEF, yang diadakan buat pertama kali di luar negara Islam, akan meletakkan hala tuju baharu memandangkan minat yang tinggi dalam kalangan komuniti bukan Islam untuk terlibat dalam peluang perniagaan baharu dengan negara Islam.
Lebih 1,800 peserta yang terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, cendekiawan, pakar serantau, pembuat dasar serta pemimpin perniagaan dari lebih 120 negara telah mengesahkan kehadiran mereka.
Najib juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Cameron pada hari yang sama, yang dijangka melihat lebih banyak kerjasama dalam banyak bidang antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Malaysia dan United Kingdom telah bersetuju mencapai sasaran dagangan sebanyak RM26 bilion menjelang 2016.
Tahun lepas, dagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM13.74 bilion. Sehingga Julai tahun ini, jumlah dagangan dicatatkan pada RM8.2 bilion.