Najib tiba di Dubai untuk hadiri WIEF ke-10
Bernama
Oktober 26, 2014 07:58 MYT
Oktober 26, 2014 07:58 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Ahad bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10.
Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Dubai World Central Al Maktoum International Airport pada 9.30 malam waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia).
Beliau dan isteri kemudian dibawa ke Hotel Madinat Jumeirah Mina A'Salam dan ketibaan mereka disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Turut hadir para pegawai kanan kerajaan Malaysia dan WIEF.
Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF akan menyampaikan ucapan khas semasa perasmian sesi pada 28 Okt ini.
Beliau juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang ada kepentingan bersama.
Bertemakan 'Perkongsian Inovatif bagi Pertumbuhan Ekonomi', forum tiga hari itu berlangsung di Hotel Madinat Jumeirah sehingga 30 Okt.
WIEF dianjur oleh Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai.
WIEF ke-10 ini bertujuan membentuk kerjasama lebih baik antara negara, membawa era baharu kemakmuran ekonomi global.
Forum akan menghimpunkan sembilan pemimpin negara, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 181 pemain peranan dan lebih 2,000 perwakilan dari lebih 100 negara.