Najib terima kunjungan hormat Menteri Luar UAE
Bernama
November 1, 2014 13:57 MYT
November 1, 2014 13:57 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan di kediaman rasminya Kompleks Seri Perdana di sini.
Ketibaan Sheikh Abdullah di Seri Perdana pada 11 pagi disambut mesra oleh Najib, sebelum tetamu beliau itu menandatangani buku pelawat.
Perdana Menteri dan Sheikh Abdullah kemudian mengadakan perbincangan tertutup selama 30 minit.
Sheikh Abdullah, yang diiringi beberapa pegawai kanan UAE, sedang melakukan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.
Menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis, kunjungan Sheikh Abdullah memberi peluang baik kepada Malaysia dan UAE untuk memupuk persahabatan antara kedua-dua negara serta membincangkan isu kepentingan bersama dan bidang kerjasama.
Ini akan mengeratkan lagi hubungan baik sedia ada antara kedua-dua negara, kata kenyataan itu.
UAE adalah antara rakan perdagangan penting Malaysia di Timur Tengah, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM27.7 bilion pada 2013.
#Kompleks Seri Perdana
#Menteri Hal Ehwal Luar Emiriyah Arab Bersatu Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan
#Najib Razak
#UAE